KUALA LUMPUR – Bukan suatu yang mengejutkan apabila Majlis Peguam meluluskan usul mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman ke atas mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, umum tahu Majlis Peguam selama-lamanya berat sebelah, memihak dan bermain politik.
“Hingga hari ini mereka membisu dalam kes bekas Peguam Negara, Tommy Thomas menggugurkan kes rasuah Lim Guan Eng.
“Najib tidak memohon pengurangan hukuman. Dia hanya mohon supaya diberi pengampunan penuh atas 12 hujah dia tidak mendapat perbicaraan adil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media bahawa Majlis Peguam dijangka memfailkan semakan kehakiman terhadap pengampunan Najib selepas usul mencabar tindakan terhadap bekas Perdana Menteri itu diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu semalam.
Usul mencabar kesahihan pengampunan Najib itu menerima sokongan 238 ahli, dengan hanya seorang ahli yang menentang cadangan terbabit.
Presiden Majlis Peguam yang baharu dilantik pada AGM hari ini, Ezri Abdul Wahab berkata, semakan pengampunan itu akan dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi.
Justeru, Dr. Mohd Puad mencabar Majlis Peguam menjawab penghakiman Datuk Abdul Rahman Sebli Hakim Besar Sabah-Sarawak yang menyatakan Najib patut bebas kerana dinafikan perbicaraan adil.
Ujar beliau, usul Majlis Peguam seolah menuduh Lembaga Pengampunan tidak adil dan bukan di bawah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Dr. Mohd Puad juga mahu Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara menjawab segera kekeliruan yang dimainkan oleh Majlis Peguam itu. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!