BERITA UTAMA

Jenazah Allahyarham Iskandar selamat dikebumikan

SIBU – Jenazah Allahyarham Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kemuyang, di sini, semalam.

Allahyarham, mangsa terakhir tragedi bot karam di Batang Baleh pada 7 Mac lalu antara tiga yang maut dalam misi membawa bahan letupan seberat 35 kilogram dan detonator.

Turut memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit itu ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mancha Ata.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Tabung Kebajikan Sukan dan Sosial Polis Kontinjen Sarawak kepada isteri Allahyarham iaitu Anis Nur Izzati Rosdi.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Sarawak, Datin Jennita William, Ketua-ketua Jabatan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Ketua-ketua Polis Daerah, pegawai kanan dan warga kerja IPD Kapit dan Sibu serta ahli keluarga Allahyarham.

Dalam tragedi itu, Iskandar bersama tiga lagi mangsa yang lain dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaiki mereka bersama seorang lagi yang terselamat karam dalam perjalanan dari Kuching ke Nanga Tulie, Kapit.

Mayat Konstabel Iskandar, 28, ditemui terapung pada hari kesembilan operasi SAR di kawasan Seputin iaitu dua kilometer dari jarak lokasi kejadian.

Tiga mangsa lain ialah mendiang Sarjan Jonathan Lambet, 51, mendiang Amerson John Nain, 47, dan mendiang Jack Balan, 44, manakala mangsa yang terselamat dikenali sebagai Moses Ngui, 47.

Semasa kejadian, Iskandar dan Jonathan yang bertugas di IPD Kapit terlibat bagi mengiringi bahan letupan berkenaan untuk kegunaan meletup batu bagi pembinaan jalan. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *