ISKANDAR PUTERI – Seorang maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan melibatkan sebuah lori di Kilometer 33, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas, dekat sini, petang semalam.
Dua remaja perempuan berkenaan yang menunggang motosikal digilis lori terbabit selepas melanggar belakang kenderaan berat itu dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari.
Mangsa yang membonceng motosikal berkenaan, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superitendan Ibrahim Mat Som berkata, penunggang motosikal turut cedera parah dan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) untuk rawatan.
Katanya, pemandu lori berkenaan tidak mengalami kecederaan dan punca kemalangan masih dalam siasatan.
“Kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang remaja berusia 19 tahun bersama mangsa dari arah Gelang Patah telah melanggar tayar belakang sisi kiri lori berkenaan yang sedang membelok ke kiri.
“Pelanggaran itu menyebabkan penunggang dan pembonceng terjatuh. Penunggang digilis pada bahagian kaki manakala pembonceng yang juga mangsa digilis di bahagian kepala.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan.
Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh menghubungi bahagian Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri menerusi talian 07-5101322. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!