BERITA UTAMA

Tiga warga emas didenda main holo di Open Air Market

KUCHING – Empat tertuduh, termasuk tiga warga emas dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM500 atau dua minggu penjara tiap seorang atas kesalahan bermain judi jenis holo di Open Air Market di sini, hari ini.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Majistret selepas Chee Wee Kiong, 78; Berjieri Mat, 76; Tan Piat Boon, 68; dan Peter Bong, 50; mengaku bersalah sebaik didakwa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan itu, mereka boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa secara bersama melakukan perbuatan tersebut pada 13 Februari lalu, kira-kira jam 11.50 pagi. 

Fakta kes mendedahkan sepasukan polis membuat serbuan Ops Limau di salah sebuah gerai di Open Air Market pada hari kejadian dan menangkap semua tertuduh kerana disyaki menjalankan perjudian jenis ‘Hoo Hey How’ atau holo. 

Polis turut merampas peralatan yang digunakan bagi aktiviti tersebut iaitu wang tunai RM110. 

Turut dirampas, setin aluminium dan sekeping keratan kertas kotak berlukis gambar labu dan ikan serta tertulis perkataan harimau, manok ayam, ketam dan udang.

Laporan pakar judi turut mengesahkan barang kes yang dirampas merupakan barang yang digunakan untuk permainan judi holo, sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin, manakala semua tertuduh diwakili peguam Lim Lian Kee. – NasionalDaily

 

Kongsi berita-berita menarik di Telegram NasionalDaily: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily dan sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami ke 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *