KUALA LUMPUR – Seorang ibu bimbang keselamatan anak perempuannya, Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, yang tidak pulang ke rumah sejak Selasa lalu.
Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata, kali terakhir beliau bersama anaknya di kediaman mereka di Pudu, di sini, kira-kira jam 4 petang.
Menurutnya, perselisihan faham antara dia dan anak pertama daripada dua beradik itu dipercayai punca Siti Dhia Batrisyia bertindak keluar rumah dan tidak pulang sehingga kini.
“Petang itu (Selasa) Dhia dah balik ke rumah. Kemudian saya tanya kenapa pagi dia tak pergi ke sekolah. Cikgu mula WhatsApp tanya kenapa tak pergi ke sekolah. Dhia jawab dia keluar (tidak hadir sekolah) beli barang buat kejutan untuk saya.
“Dengar jawapan itu, saya marah dan tegur apa yang dia buat itu salah. Kenapa buat waktu hari persekolahan. Beberapa minit kemudian saya keluar rumah nak beli barang dapur untuk sediakan lauk berbuka. Balik sahaja Dhia sudah tiada,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, tular di media sosial kanak-kanak berusia 12 tahun, Dhia Batrisyia dilaporkan hilang selepas gagal dikesan sejak Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Syarifah Rosfazila berkata, beliau mula merasakan tidak senang hati apabila selepas selesai berbuka anak perempuannya belum pulang.
“Selalunya dia pergi ke rumah kawan sekitar kawasan ini, jadi apabila esoknya masih lagi tidak pulang, saya mula mencarinya di rumah kawan dia, tapi semuanya tidak tahu di mana Dhia berada.
“Sebelum ini, Dhia tak pernah keluar jauh lama-lama dan tak pernah tak balik rumah, saya memang tengok dan jaga anak saya,” katanya.
Lebih merisaukan, Syarifah Rosfazila berkata, ada rakan Dhia memaklumkan dia mengikut seorang lelaki yang dikenali melalui media sosial.
“Saya jadi risau bila ada (kawan) yang kata Dhia pergi menghala ke Ampang, tambah pula ada kawan cakap Dhia pernah bercerita mengenai seorang individu, tetapi semua rakannya tidak pernah berjumpa orang itu. Saya risau bila ada orang tak kenal ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan laporan polis diterimanya semalam.
“Kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan tindakan mengesan giat dijalankan” katanya. – NasionalDaily
Kongsi berita-berita menarik di Telegram NasionalDaily: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily dan sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami ke 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga.