BERITA UTAMA

Tentera Israel tembak mati dua di hospital Tebing Barat

RAMALLAH – Tentera Israel membunuh dua lelaki Palestin di sebuah hospital di Tebing Barat kelmarin, kata seorang pegawai, yang terkini dalam rentetan pembunuhan di wilayah yang ditakluki sejak perang di Gaza bermula.

Pembunuhan sebelum subuh itu berlaku di kawasan hospital kerajaan di Jenin, di utara Tebing Barat, pengarah hospital, Wissam Bakr, memberitahu AFP.

“Ia adalah benar bahawa tembakan telah dilepaskan ke arah sekumpulan pemuda berhampiran pintu masuk ke jabatan kecemasan, walaupun tiada konfrontasi atau apa-apapun,” kata Bakr.

“Penembak tepat mula menembak ke arah mereka selepas dua pemuda itu memasuki jabatan kecemasan di mana mereka telah syahid.”

Bakr menambah bahawa empat orang lagi tercedera dalam insiden itu.

Ditanya mengenai kematian yang dilaporkan, tentera Israel berkata anggota tentera “menembak ke arah beberapa suspek bersenjata yang dikenali di kawasan itu” dan “sasaran telah dikenal pasti”.

“Anggota tentera menangkap seorang suspek yang dikehendaki, di samping menemui dan memusnahkan bahan letupan yang telah diletakkan di bawah jalan untuk menyerang pasukan tentera,” tambahnya.

Jenin menjadi tumpuan serangan oleh tentera Israel berulang-ulang kali sejak beberapa tahun lepas, yang sering membawa kepada pertempuran dengan pejuang Palestin.

Pada Januari, ejen keselamatan Israel menyamar sebagai medik telah menyerbu hospital Ibn Sina di bandar tersebut dan menembak mati tiga pejuang Palestin.

Kem pelarian Jenin yang berhampiran dengan bandar juga salah satu tempat paling sesak dan miskin di Tebing Barat serta menjadi hab bagi aktiviti ketenteraan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kementerian kesihatan Palestin yang berpusat di Ramallah menyatakan sekurang-kurangnya 430 rakyat Palestin telah terkorban di Tebing Barat akibat serangan tentera Israel sejak 7 Oktober.

Ribuan rakyat Palestin yang lain telah ditangkap dan dipenjarakan.

Serangan Hamas mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang di Israel, kebanyakannya warga  awam, menurut kiraan AFP daripada jumlah rasmi Israel.

Kempen serangan balas oleh tentera Israel terhadap Hamas telah mengorbankan sekurang-kurangnya 31,272 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di wilayah yang ditadbir oleh Hamas. — AFP
 

 

Kongsi berita-berita menarik di Telegram NasionalDaily: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily dan sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami ke 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *