KUALA LUMPUR – Ramai lagi individu akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes membabitkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, mereka akan dipanggil dalam masa terdekat.
Namun, beliau tidak mendedahkan secara lebih terperinci berkenaan siasatan tersebut.
“Berhubung siasatan ini, lebih ramai akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mengulas mengenai kemungkinan akan ada lagi individu dipanggil pihaknya bagi membantu siasatan kes membabitkan bekas Menteri Kewangan.
CNA Singapura semalam melaporkan seorang hartawan dalam bidang hartanah mewah berasal dari negara itu, Akbar Khan kini antara yang disiasat SPRM.
Ahli perniagaan berusia 83 tahun dilaporkan sudah diarahkan SPRM untuk mengisytiharkan aset dan pegangan kewangan keluarganya.
Akbar ialah pemegang saham majoriti dan pengerusi BRDB Developments Sdn Bhd yang juga pemaju hartanah mewah termasuk mempunyai projek di Australia, London dan Pakistan.
Pada Januari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin masih berdepan beberapa kes siasatan pihaknya biarpun sudah didakwa atas tuduhan tidak mengisytiharkan harta membabitkan 70 aset dan satu akaun bank.
Beliau berkata, berkata siasatan itu membabitkan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Pertuduhan hanya membabitkan pendakwaan mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 kerana gagal isytihar harta. – NasionalDaily
Kongsi berita-berita menarik di Telegram NasionalDaily: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendakpost iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily.com dan sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami ke 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga istimewa.