BERITA UTAMA
Putra desak kerajaan Selangor beri tempat tinggal, pampasan kepada penduduk Kg Sri Makmur

Putra sokong satu pencen untuk ahli politik

KUALA LUMPUR – Parti Putra menyokong penuh cadangan Presiden CUEPACS, Datuk Dr. Adnan Mat supaya pencen ahli politik bertaraf wakil rakyat dan anggota kabinet menerima satu pencen sahaja.

Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, cadangan itu secara tidak langsung akan membebaskan bebanan kewangan ditanggung kerajaan yang memerlukan jumlah besar setiap bulan untuk membayar pencen golongan ini.

“Tidak logik, jumlah pencen ahli politik yang berkhidmat tidak sampai 10 tahun boleh mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Ini betul-betul gila dan tak masuk akal.

“Selain dapat pencen yang besar, mereka juga terima hadiah iaitu kereta yang diguna ketika berkhidmat, selain pinjaman rumah dengan kadar interest sama seperti penjawat awam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Dr. Adnan yang dilaporkan berkata, ketika ini ada kalangan bekas menteri yang turut menjadi Ahli Parlimen dan ADUN menerima pencen untuk setiap jawatan.

Justeru, katanya, dalam usaha mengurangkan bebanan kewangan kerajaan membayar pencen, mereka seharusnya diberi satu sahaja pencen iaitu kadar mana paling tinggi antara semua pencen diterimanya.

Menurut Shahrulufti, Putra percaya dengan melaksanakan struktur pencen tunggal akan memastikan keadilan sambil mempromosikan tanggungjawab kewangan dalam kerajaan.

“Cadangan ini untuk menghapuskan keperluan bagi ahli politik menerima pencen setiap jawatan dipegang, dengan menekankan kepentingan mencipta skema pencen lebih berkelanjutan dan munasabah bagi pegawai awam.

“Ini sejajar dengan keperluan yang berubah bagi ahli perkhidmatan awam, di samping memastikan ia adil, telus dan penggunaan kewangan secara bijak.

“Kami menghargai usaha CUEPACS dan pihak berkepentingan lain dalam memperjuangkan sistem pencen lebih adil dan kami berdiri teguh dengan matlamat untuk memperbaiki skema pencen bagi faedah generasi akan datang dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau menyatakan, Putra tetap komited memperjuangkan reformasi yang mempromosikan akauntabiliti, ketelusan dan tadbir urus yang bertanggungjawab.

Katanya, parti itu percaya cadangan sistem pencen tunggal adalah langkah penting mencapai objektif berkenaan dan menggesa semua pihak menyokong inisiatif itu untuk penambahbaikan pengurusan kewangan negara serta kesejahteraan perkhidmatan awam. – NasionalDaily

 

Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *