BERITA UTAMA

Sukan Komanwel 2026: ‘Umpama tiada beban, batu hendak digalas’

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu melihat pelbagai sudut kesan jangka pendek dan panjang sebelum menerima tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menganjurkan temasya tersebut bagi edisi 2026.

Itu pandangan Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias selepas diminta mengulas tawaran CGF kepada Malaysia bagi menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri sebagai tuan rumah temasya itu pada 2026.

Pada masa sama, Suhardi menimbulkan persoalan keghairahan badan induk Olimpik negara terhadap penawaran CGF ketika negara lain menarik diri untuk menganjurkannya.

“Hakikatnya Victoria sanggup membayar sejumlah wang yang begitu banyak sebagai pampasan selepas menarik diri dari menganjurkan temasya tersebut.

“Sejujurnya saya cukup amat hairan mengapa kita beria-ia nak ambil temasya yang negara lain tidak mahu anjurkan? Ibarat umpama tiada beban, batu hendak digalas.

“Seperkara lagi, kita juga perlu melihat apa yang berlaku kepada Birmingham selepas menganjurkan edisi 2022 walaupun telah lebih awal dinasihatkan supaya tidak meneruskannya sebelum ini,” kata Suhardi yang dipetik Sinar Harian.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini memaklumkan telah memulakan perbincangan dengan Kementerian Belia dan Sukan mengenai cadangan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 selepas mendapat tawaran rasmi daripada CGF kepada MOM yang juga dikenali sebagai Persatuan Sukan Komanwel (CGA) Malaysia bulan lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Sabtu memaklumkan, Kabinet akan membuat keputusan sama ada Malaysia berminat untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 dalam masa terdekat.

Malah, sebagai tuan rumah, CGF menawarkan Malaysia dana 100 juta pound bagi menyokong perancangan menganjurkan edisi 2026 akan mengurangkan beban kewangan menganjurkan temasya sukan itu.

Jelas Suhardi lagi, beliau berpandangan bukan satu langkah bijak bagi Malaysia untuk mengambil bahagian sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 pada ketika kelembapan ekonomi dunia.

“Ini kerana saya menjangka kos untuk menganjurkan temasya di sini adalah antara RM1 bilion untuk acara asas dari keseluruhan kos yang dijangka mampu mencecah sehingga RM13 bilion.

“Malah suntikan dana 100 juta pound (RM602 juta) daripada CGF untuk menyokong perancangan penganjuran edisi 2026 tidak akan mengurangkan beban tuan rumah,” katanya.

Victoria, Australia, menarik diri tahun lalu dengan alasan kos yang semakin meningkat, yang dijangka mencecah sehingga A$7 bilion (RM21.7 bilion) dan dilaporkan, bersetuju membayar A$380 juta (RM1.1 bilion) kepada CGF kerana melanggar kontrak.

Pada masa sama Suhardi percaya adalah lebih baik bajet untuk temasya itu dibelanjakan bagi meningkatkan pembangunan atlet dan ekosistem sukan negara kepada semua 103 persatuan sukan kebangsaan dan persatuan sukan para kebangsaan.

“Jika kita ambil RM1 bilion, sebagai contoh, setiap persatuan akan menerima kira-kira RM10 juta setiap satu, yang boleh mereka gunakan untuk menjalankan program pembangunan dan latihan. Ini akan meningkatkan ekosistem sukan di negara ini dan lebih mampan.

“Malah Yang di-Pertuan Agong meminta kerajaan berhemat dalam perbelanjaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang diperlukan sahaja,” katanya yang berharap semua pihak peka pandangan awam apabila terdapat cabaran untuk menutup akaun Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2017 sebelum ini. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *