KUALA LUMPUR – Sempena Sambutan Hari Polis ke-217, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Pengurusan julung kalinya menganjurkan program PDRM Special Dialogue 2024 di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu turut dihadiri Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bersama Timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan.
Selain memperkukuh kerjasama antara PDRM dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), objektif penganjuran forum seumpamanya ialah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai cabaran baharu dalam bidang keselamatan serta kesihatan awam, khusus jenayah siber dan narkotik yang semakin kompleks dasawarsa ini.
Tertib forum tadi dimulakan dengan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PDRM bersama SKMM dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang pendidikan kepolisan untuk melahirkan lebih ramai graduan peringkat global yang mampu menangani isu jenayah siber serta narkotik dalam negara.
Program kemudiannya diteruskan dengan sesi dialog pertama membincangkan kupasan tajuk ‘Technology on Crimes, The Challenges’ menampilkan beberapa figura hebat sebagai ahli panel iaitu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf; Timbalan Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) Malaysia, Edora Ahmad; Pegawai Operasi Jenayah Siber Polis Antarabangsa (INTERPOL), Kim Young Min; dan Ketua Pegawai Eksekutif Cybots AI, Rodney Lee bersama moderator, Timbalan Pengarah Jabatan Penipuan Telekomunikasi SKMM, Wahidatul Abdah Aminul Rashid.
Bagi sesi dialog kedua pula, kupasan perbincangan bertajuk ‘Danger of Subtance Abuse and Discovery Evolution Through Research Development’ yang mengetengahkan panel seperti Penolong Pengarah Narkotik (Perundangan/Siasatan) JSJN Bukit Aman, ACP Chandra Segaran Subramaniam; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Perhubungan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Dr. Mohammad Kassim; Pengarah Bahagian Forensik DNA, Pusat Analisis Sains Forensik, Nor Aidora Saedon; Country Attache US Drug Enforcement Administration (DEA) Kuala Lumpur, Steven Temprano yang dikelolai Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas E8 Bukit Aman, Nik Ezanee Mohd Faisal.
Dalam majlis sama, tetamu kehormat turut dibawa melawat ke reruai pameran firma swasta yang mengambil bahagian seperti Asia International Security Summit and Expo, CrowdStrike, Cybots AI dan Dataport Technology Limited, selain tidak ketinggalan juga penyertaan dari JSJK dan JSJN mewakili pasukan.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Menteri KDN, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah; Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud; barisan Duta Negara Luar ke Malaysia, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KSN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; barisan Pengarah PDRM, Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan para pegawai kanan serta rakan media. – NasionalDaily
Kredit jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com