KUALA LUMPUR – Sebarang cadangan untuk menukar proses dan formula pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilakukan sesuka hati dengan meluluskan Akta Parlimen, kata Peguam, Haniff Khatri Abdulla.
Beliau berkata, jika ada mana-mana undang-undang yang tidak selaras dengan Perlembagaan akan terbatal dan tidak sah.
Merujuk kepada cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham agar undang-undang undi perdana menteri di Dewan Rakyat digubal, kata beliau, ia tidak selari, malah mengganggu Perlembagaan Persekutuan.
“Tugas Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri seperti diperuntukan bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan perlu dikekalkan.
“Sebab, Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong boleh melantik seorang perdana menteri yang pada pertimbangannya berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.
“Dan, sebarang cadangan untuk menukar proses serta formula pelantikan (perdana menteri) tidak boleh dilakukan sesuka hati dengan meluluskan Akta Parlimen,” katanya dipetik laporan FMT, semalam.
Portal itu pada 5 Mac lalu melaporkan, satu cadangan daripada pemimpin DAP itu agar undang-undang memilih perdana menteri melalui undian di Dewan Rakyat digubal.
Koo Ham berkata, langkah itu bagi menangani dakwaan pihak tertentu yang mengatakan mereka memiliki akuan berkanun mencukupi untuk membentuk kerajaan.
“Saya mohon kerajaan buat satu undang-undang yang dapat pastikan siapa yang mendapat sokongan majoriti sebagai perdana menteri dibuat di Dewan yang mulia ini,” kata beliau dalam perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat.
Ngeh menambah, dakwaan berkaitan SD boleh menyebabkan politik tidak stabil apabila kerap timbul dan itu tidak baik untuk rakyat.
Mengulas lanjut Haniff Khatri menjelaskan, beliau hanya bersetuju jika Dewan Rakyat digunakan untuk menentukan sama ada perdana menteri mendapat sokongan majoriti.
Ini kerana, katanya, badan perundangan adalah tempat untuk menentukan sama ada perdana menteri yang dilantik mempunyai sokongan angka, bukan tempat memilih ketua kerajaan.
Mengenai Langkah Sheraton yang membawa kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan perdana menteri, peguam itu berkata, rakyat mempunyai masalah dengan sikap kurang matang dalam kalangan ahli politik dan ketidakikhlasan matlamat politik mereka. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com