BERITA UTAMA

PM puji KPDN, polis banteras sindiket diesel bersubsidi nelayan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri hari ini mengucapkan tahniah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta polis dalam usahanya membanteras sindiket penyelewengan diesel subsidi nelayan.

Dalam kenyataan ringkasnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak berkuasa it uterus membanteras dengan memastikan hak nelayan tidak dirampas petualang.

“Tahniah KPDN dan PDRM! Teruskan banteras, pastikan hak nelayan tidak dirampas petualang,” tegasnya menerusi hantaran Facebooknya.

KPDN dalam kenyataannya hari ini menyatakan, akan mengemukakan laporan dan syor hasil dapatan diperolehi sepanjang pelaksanaan Ops Tiris kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai pengukuhan mekanisme kawalan pelaksanaan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan.

Laporan dan syor itu adalah penemuan penting diperolehi sepanjang Ops Tiris 1.0 dan Ops Tiris 2.0 bermula pada 1 Mac lalu dan diteruskan hingga Ops Tiris 3.0.

“Pelaksanaan pemberian diesel bersubsidi kepada nelayan adalah salah satu fokus penguatkuasaan dalam menangani ketirisan subsidi diesel.

“Ia melibatkan risiko ketirisan dengan penjualan diesel bersubsidi kepada sektor industri yang tidak berkelayakan dan penyeludupan kepada nelayan asing.

“KPDN akan memperkukuhkan kerjasama dengan KPKM dan agensi penguatkuasaan berkaitan,” kata kenyataan itu kepada media, hari ini.

Pada 5 Mac lalu, KPDN Selangor bersama polis berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi nelayan dalam serbuan di Sungai Besar.

Premis terlibat disyaki menjadi setor haram tempat penyimpanan dan pemindahan diesel bersubsidi nelayan.

Menurut kenyataan itu lagi, hasil serbuan dan pemeriksaan lanjut, pasukan penguatkuasaan telah menyita sejumlah 24,875 liter diesel dan peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan dengan nilai keseluruhan RM187,350.

“Tiga lelaki rakyat tempatan berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun disyaki wakil pemilik premis, pemandu dan penjaga premis ditahan hasil risikan.

“Sindiket ini dipercayai beroperasi dalam tempoh lama dan melibatkan penyelewengan subsidi diesel nelayan pada skala besar,” kata kenyataan itu. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *