KUALA LUMPUR – Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh perlu menjawab dengan telus pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob benar atau tidak rayuan pengampunan dibuat, ada lampiran dari Datuk Seri Najib Razak memohon tahanan dalam rumah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, rakyat mahu tahu dengan jelas isu itu yang telah dibangkitkan beberapa pihak mengenai penahanan bekas Perdana Menteri itu yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
“Najib tidak sama dengan ahli politik lain. Dia tidak hasut pengikutnya turun ke jalan raya atau buat kacau dalam parti.
“Dia mengutamakan kestabilan. Dia tidak mahu ribut-ribut. Malangnya, Najib berterusan jadi mangsa politik kerana kebaikannya itu.
“Sebab itu pertanyaan (mantan Perdana Menteri) Ismail Sabri di Parlimen semalam mesti dijawab dengan telus oleh Peguam Negara. Apakah benar bila rayuan pengampunan dibuat ada lampiran Najib mohon dibenarkan tahanan dalam rumah?,” soalnya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Semalam, Ismail Sabri meminta kerajaan menjelaskan perkara berkaitan rayuan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PSBL).
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, beliau difahamkan rayuan berkenaan sudah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang bersidang sebelum ini.
“Saya difahamkan sewaktu membuat rayuan pengampunan oleh Najib, selain rayuan itu, ada lampiran untuk membuat rayuan supaya beliau ditukarkan tempat tahanan dari tahanan di Penjara Kajang ke tahanan di rumah.
“Saya difahamkan perkara ini ada dalam sebahagian lampiran permohonan pengampunan atau rayuan itu. Jadi, soalan saya, apakah benar atau tidak,” kata bekas Naib Presiden UMNO itu.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan memaklumkan, kerajaan secara prinsip bersetuju memulakan PBSL menerusi tahanan di rumah kepada banduan yang menjalani hukuman empat tahun dan ke bawah sebagai usaha mengurangkan kesesakan penjara. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com