BERITA UTAMA

Peniaga rugi RM23,000 ditipu kawan sendiri

KUALA LUMPUR – Percaya dengan janji kawan, seorang lelaki rugi kira-kira RM23,000 untuk menjalankan perniagaan yang tidak wujud.

Mangsa berusia 38 tahun, didatangi kawannya pada 15 Disember lalu, mengajaknya berjumpa di sebuah restoran di Genting Klang, Setapak konon untuk berbincang mengenai perniagaan.

Mengikut laporan polis yang dibuat mangsa, ketika berjumpa, kawannya ada memaklumkan satu perniagaan rokok, yang mana barang itu dikeluarkan dari Dubai ke Singapura pada 10 Julai 2023 dan akan transit pada 4 Ogos 2023.

Selepas itu, kata kawannya lagi, rokok berkenaan akan dihantar keluar dari Singapura pada 18 Ogos 2023 dan sampai ke Thailand pada 24 Ogos 2023, sebelum masuk ke Australia.

“Kawan terbabit memaklumkan kepada mangsa bahawa rokok berkenaan diurus sendiri olehnya secara sah dan boleh membantunya membuat perniagaan di negara ini.

“Bagaimanapun, sebelum rokok itu sampai ke Malaysia, mangsa diminta kawannya supaya membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM3,000.

“Pada 20 Disember 2023, tanpa ragu mangsa telah membuat pemindahan wang secara online sebanyak yang diminta dalam akaun Maybank milik kawannya,” kata laporan polis.

Namun, pada 30 Disember lalu, kawan berkenaan memberitahu kepada mangsa yang beliau telah berbincang dengan Ketua Kastam tempatnya bekerja bahawa rokok itu hanya akan diperolehinya jika membuat bayaran RM80,000 hingga RM100,000 dengan bayaran pendahuluan RM30,000.

Pada hari sama, jam 10.52 malam, mangsa membuat pembayaran dalam akaun sama milik kawannya sebanyak RM20,000.

“Selepas selesai membuat pembayaran kali kedua itu, mangsa cuba menghubungi kawannya, tetapi tidak dijawab sehingga kini.

“Ketika itu, mangsa menyedari telah ditipu oleh kawannya yang menyamar penjawat awam bekerja sebagai Kastam,” kata laporan itu.

Mangsa yang tinggal di Bandar Parklands Klang kerugian RM23,000 kerana terpedaya dengan janji kawannya untuk menjalankan perniagaan rokok dan membuat laporan di Balai Polis Pudu, di sini petang semalam.

Beliau meminta polis menjalankan siasatan dan menuduh kawannya itu ke mahkamah atas tuduhan menipu. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *