KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa supaya mengambil peduli isu memalukan kerajaan dan negara sebagaimana berlaku dalam Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hassan Syed Ali berkata, isu menurunkan pangkat Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar oleh menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing baru-baru ini adalah suatu yang mengaibkan nama baik kerajaan dan Malaysia khususnya.
Malah, katanya, masalah kementerian itu sendiri dengan perangai menterinya menimbulkan masalah dalam kes pelancong dari China yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) suatu ketika dahulu juga tidak patut berlaku.
“Di mana tatakelola yang sentiasa diuar-uarkan dan ditekankan oleh Perdana Menteri setiap kali berucap di masjlis rasmi kerajaan dan dalam program parti politik?
“Sudah sampai masanya menteri berkenaan yang beberapa kali mencetuskan kemarahan rakyat atas tindakannya dipecat atau ditukarkan ke kementerian lain,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Syed Hassan berkata, pertubuhan NGO itu mahu mana-mana pihak yang terjejas dan tidak puas hati dengan menteri terbabit perlu berani ke depan mengambil tindakan undang-undang atau laporkan secara rasmi kepada pihak berkenan berhubung tingkah laku King Sing.
Katanya, Perkasa juga difahamkan Dr. Ammar kini telah mendapatkan nasihat peguam untuk tindakan selanjutnya bagi mendapat kembali haknya.
“Perkasa akan memberi sokongan dan bantuan apa sahaja kepada Dr. Ammar sehingga beliau mendapat keadilan sepenuhnya.
“Perkasa juga mohon Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan membela pegawai yang bermasalah dengan menteri, demi hak dan keadilan pegawai itu.
“Negara ada undang-undang dan peraturannya dan siapa sahaja waimah menteri sekali pun perlu akur. Jangan jadikan kementerian seperti syarikat keluarga,” tegasnya. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com