Pemuda Amanah harap lebih ramai ADUN PN sokong MB Selangor

SHAH ALAM – Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) ucap tahniah dan syabas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Abdul Rashid Asari yang mengumumkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor.

Tindakan itu, kata Timbalan Ketuanya, Danial Al-Rashid Haron, menunjukkan betapa tinggi keyakinan ADUN pembangkang itu terhadap kepimpinan Datuk Seri Amirudin Shari.

Katanya, Abdul Rashid menyatakan sokongan itu selepas meneliti ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri yang berada di landasan tepat demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Mengambil kira pengalamaan dan hubungan rapat dengan anggota pentadbiran Selangor terutama Menteri Besar dan barisan Exco, Pemuda Amanah melihat Abdul Rashid telah membuat pertimbangan yang baik dalam membuat keputusan ini.

“Sejajar dengan matlamat Selangor ingin terus memajukan negeri, Pemuda Amanah merasakan sokongan diberikan ADUN Selat Klang ini adalah suatu sumbangan yang akan melonjakkan prestasi negeri serta memberikan manfaat yang baik untuk rakyat khususnya di Selat Klang,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Danial, tindakan ADUN itu turut memperlihatkan betapa keyakinannya dari kalangan Perikatan Nasional (PN) terhadap kepimpinan Ketua Pembangkang mula hilang.

Ujar beliau, Ketua Pembangkang kerap menimbulkan spekulasi dan tohmahan dalam dewan, sedangkan beberapa Ahli Dewan Pembangkang ingin turut serta memberikan pandangan yang konstruktif untuk membangunkan negeri.

“Perkembangan ini sangat menarik lanjutan daripada enam Ahli Parlimen dari parti Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri sebelum ini dan kini tindakan ADUN Selat Klang pula, Pemuda Amanah melihat betapa rapuhnya kepimpinan Bersatu pada hari ini.

“Kita harap lebih ramai ADUN PN menyatakan sokongan kepada Menteri Besar sebagai satu langkah memperlihatkan sokongan kepada kemajuan negeri Selangor,” katanya. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *