KAJANG – Tiga lelaki warga asing yang dilanggar tren komuter KTM di KM408.400 malam semalam diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Timbalan Ketua Polis Kajang, Superitendan Mohamad Nasir Drahman berkata, tiga mayat mangsa, iaitu dua warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar (UNHCR) dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kajang untuk bedah siasat.
Mengenai kejadian, katanya, Balai Polis Daerah Kajang telah menerima maklumat daripada anggota Polis Bantuan KTM mengenai kejadian itu pada jam 9.30 malam.
“Maklumat menyatakan, tiga lelaki ditemui bergelimpangan di tepi laluan landasan kereta api disyaki dilanggar komuter laluan Serdang ke Kajang.
“Pusat Kawalan Polis Bantuan KTM Jalan Bukit Kajang memaklumkan pemandu tren komuter telah terlanggar objek di KM408.400.
“Anggota polis bantuan itu bersama rakan setugas membuat pemeriksaan dengan berjalan kaki di sepanjang landasan dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pihak ambulans dari Hospital Kajang sampai di tempat kejadian dan Penolong Pegawai Perubatan telah mengesahkan kematian mangsa pada jam 10.45 malam.
Kata beliau, pemeriksaan terhadap mayat itu didapati dua lelaki adalah warga Bangladesh dan seorang lagi warga Myanmar mengikut pengenalan diri yang dijumpai pada mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau terus dengan pegawai penyiasat kes, Sarjan Ariffin di talian 012-2444 608 bagi membantu siasatan. – NasionalDaily