TAIPING – Adik Menteri Besar Perak, Ahmad Rozimi Mohamad meninggal dunia pagi semalam.
Datuk Seri Saarani memaklumkan, adiknya sebelum ini dimasukkan ke Hospital Taiping atas faktor kesihatan dan menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 10 pagi.
“Dukacita dimaklumkan adinda saya, Ahmad Rozimi bin Haji Mohamad telah kembali ke rahmatullah jam 10 pagi tadi di Hospital Taiping.
“Pohon doa daripada semua supaya diampunkan segala dosanya dan ditempatkan di syurga Allah SWT.
“Jenazah dibawa pulang dari Hospital Taiping dan kemudiannya dibawa ke Masjid Al Hamidiah Kampung Raban dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Raban,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.
Beliau turut mengiringi perjalanan terakhir adiknya yang amat dikasihi itu, di samping mengucapkan terima kasih kepada yang sudi datang dari jauh dan dekat memberi penghormatan.
“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus mendoakan. Semoga Allah membalas jasa baik kalian. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya. – NasionalDaily