PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatnya Shehbaz Shariff atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Pakistan baharu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan itu menerusi panggilan telefon seraya menzahirkan selamat maju jaya selepas Shehbaz dipilih semula untuk penggal kedua.
“Dalam kesempatan yang ada, saya mengucapkan tahniah kepada Shehbaz Sharif atas pelantikan pemimpin itu sebagai Perdana Menteri Pakistan baharu.
“Kami sempat bertukar pandangan dan penghargaan antara satu sama lain, selain menopang peluang untuk pertemuan di Pakistan mahu pun jemputan ke Malaysia dalam masa terdekat.
“Saya juga menitipkan sokongan berkaitan agenda pembangunan dirancang Pakistan dan bersedia untuk bekerjasama dalam meningkatkan hubungan dua hala khususnya berkaitan pelaburan serta perdagangan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya pagi ini.
Semalam, Shehbaz Sharif mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua, hampir empat minggu selepas kekecohan ketika pilihan raya umum yang menyebabkan kelewatan dalam pembentukan kerajaan campuran.
Sharif, 72, secara rasmi memegang jawatan pada majlis angkat sumpah jawatan di pejabat Presiden di ibu negara, Islamabad, sehari selepas Parlimen melantiknya sebagai Perdana Menteri, walaupun terdapat bantahan daripada ahli parlimen yang sehaluan dengan bekas Perdana Menteri, Imran Khan yang dipenjarakan.
Sharif memakai mantel tradisional hitam, yang dipanggil sherwani, dalam majlis itu, disiarkan secara langsung di TV kerajaan dan dihadiri oleh orang awam, tentera dan ramai lagi.
Pilihan raya yang berlangsung 8 Februari lalu dicemari oleh penutupan perkhidmatan internet mudah alih, penangkapan dan keganasan yang dan keputusan yang tertangguh luar biasa turut mencetuskan dakwaan penipuan dalam proses kiraan undi.
Menurut Anwar, dalam perbualan itu, Pakistan turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia di atas kelantangan suara dan mesej berkaitan Palestin, selain terkait dengan isu dunia Islam mutakhir ini. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily