KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menarik balik kertas aturan urusan mesyuarat mengusulkan penggantungan Wan Saiful Wan Jan.
Ini selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu meminta maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh korup dan memohon keampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Saya mengaku ada menyebut korup atau menyalahgunakan kuasa kepada Perdana Menteri dan dengan ini saya menarik balik tuduhan itu dan meminta maaf dan mohon keampunan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika diberi peluang untuk berbuat demikian pada sidang Parlimen hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Zahid akan mengemukakan kertas aturan urusan mesyuarat di Dewan Rakyat usul untuk menggantung Wan Saiful.
Dalam sesi persidangan hari ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi peluang kepada Wan Saiful menyuarakan hasrat untuk memohon maaf sebelum usul menggantungnya enam bulan dibentangkan.
Johari berkata, isu tersebut sudah selesai berikutan Wan Saiful telah menarik kenyataannya dan membuat permohonan maaf.
“Ini bermaksud Tasek Gelugor minta maaf kepada Tambun dan tarik balik kenyatan juga mohon ampun kepada Agong, jadi saya terima dan Menteri, saya anggap kita boleh selesaikan,” katanya yang enggan perkara tersebut dipanjangkan. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily