PUTRAJAYA – Sebuah helikopter AW 139 nombor pendaftaran M72-01 melakukan pendaratan cemas di perairan Pulau Angsa, Selangor pada jam 9.55 pagi tadi ketika melakukan latihan menyelamat.
Maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang kebetulan berada sekitar lokasi kejadian.
Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi tadi.
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, pesawat yang mendarat cemas itu diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim, Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan Leftenan Komander Maritim Mohamad Azrol Saidi.
Katanya, turut berada dalam helikopter itu seorang kru udara Pegawai Waran I Maritim John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara Muda Maritim Muhamad Nurhayyat Hashim.
“Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot Pengawal 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 dari Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).
“Semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365N3 dan telah diterbangkan ke SUMS,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum itu, kata beliau, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM Bagan Datuk juga diatur gerak bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.
Kata Hamid, Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca kejadian.
“Kita mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu CARILAMAT kejadian ini.
“Operasi CARILAMAT telah ditamatkan oleh CAAM pada jam 11.15 pagi sebentar tadi,” katanya. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily