SIMPANG PULAI – Rempuhan kuat sebuah lori tangki simen menyebabkan empat cedera dalam kemalangan di KM275.3, Lebuhraya Utara Selatan (LUAS) arah utara, dekat sini, pagi ini.
Lori tangki muatan simen itu dikatakan hilang kawalan, sebelum melanggar dua lori satu tan milik syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuhraya (PROPEL) Berhad.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak yang menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.38 pagi telah memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai.
Komander Operasi, PBK II Hamizan Mustapha berkata, pasukan bomba telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera sebaik menerima panggilan.
Katanya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori tangki simen telah melanggar dua lori satu tan milik PROPEL Berhad.
“Ada 4 mangsa yang terlibat dalam kejadian itu. Semua mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum bomba tiba.
“Mereka kemudian dihantar ke hospital dengan kenderaan Unit EMRS Bomba dan ambulan daripada KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – NasionalDaily