BERITA UTAMA

Daim dan keluarga gagal mencabar siasatan SPRM

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman yang dibuat bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan keluarga.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusannya berkata, pemohon gagal menunjukkan terdapat mala fide atau niat jahat dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas mereka.

Katanya, pemohon hanya menyatakan syak wasangka mala fide dalam usaha mencabar siasatan dan itu tidak memadai.

“Oleh itu, mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman yang dibuat Daim dan keluarganya,” katanya.

Sebaliknya, Wan Ahmad Farid berkata, Daim dan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid hanya perlu memfailkan permohonan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur (jenayah) untuk mencabar pertuduhan berkenaan.

Permohonan itu difailkan Daim melalui firma guaman Tetuan Tommy Thomas di Mahkamah Tinggi pada 10 Januari lalu.

Selain Daim dan isterinya, turut dinamakan sebagai pemohon ialah empat anak mereka iaitu Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin serta Ilham Tower Sdn Bhd, manakala SPRM dan Pendakwa Raya selaku responden. – Nasionaldaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *