Tajuk Utama

    Malaysia-Australia pertingkat kerjasama pelbagai industri

    KUALA LUMPUR – Malaysia dan Australia hari ini masing-masing komited untuk mempertingkat kerjasama komprehensif dalam pelbagai industri.

    Dalam sidang media bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, mereka menyatakan antara kerjasama itu melibatkan perdagangan, pelaburan, pendidikan, ekonomi digital dan keselamatan siber.

    Anwar kini dalam lawatan rasmi ke negara itu, selain menghadiri Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

    “Kami juga sepakat untuk memperluas kerjasama sedia ada dalam hal terkait ekosistem vaksin serta peralihan tenaga bersih.

    “Menopang cabaran mendatang, kami senada untuk menerokai perkongsian maklumat, pembangunan siber serta menuntut kebersamaan lebih padu dalam isu imigresen dan persempadanan,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

    Sebelum sidang media bersama, Anwar dan delegasi Malaysia disambut Albanese dan Gabenor Victoria Margaret Gardner AC sejurus tiba di halaman Government House Victoria diiringi lagu Negaraku, disusuli tembakan penghormatan sebelum pemeriksaan barisan kehormat.

    Usai majlis tersebut, Anwar dan Albanese mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengadakan Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia. – NasionalDaily

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *