KUALA LUMPUR – Bukan soal ada sembilan lagi makanan lain yang juga dimasukkan dalam senarai makanan warisan negara, tegas Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh.
Tetapi, soal beliau, apakah relevannya untuk memasukkan makanan yang kebanyakan penyediaannya mempunyai unsur asas babi yang umum tahu sangat sensitif di kalangan majoriti penduduk Malaysia terutama umat Islam dalam senarai makanan warisan negara.
“Apakah kamu tahu, senarai yang dimasukkan dalam warta itu adalah “bak kut teh”, bukannya seafood kut teh, ayam kut teh.
“Bak itu bermaksud daging yang secara khususnya untuk daging babi dalam sebutan hokkien
“Ya, memang bak kut teh boleh ditukar menjadi daging yang halal mengikut kamu, tetapi adakah kamu tahu berapa banyak bak kut teh yang dikatakan halal dan dijual di pasaran?,” soal beliau menerusi hantaran Facebooknya hari ini.
Semalam, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing membidas Dr. Akmal dan mengingatkannya agar tidak menjadi seperti pembangkang atau kumpulan ekstremis.
Tiong berkata, ini bukan kali pertama Akmal, yang juga Exco Melaka memainkan isu perkauman dan agama.
Mengenai isu bak kut teh yang dibangkitkan Akmal, Tiong menjelaskan ia hanyalah satu daripada 10 hidangan baru yang termasuk dalam senarai makanan warisan negara.
Mengulas lanjut, Dr. Akmal menyatakan, jawapannya hampir semua bak kut teh yang dijual mempunyai unsur daging babi.
“Adakah kamu memberi maksud apabila kami bercakap mengenai perkara yang sensitif di hati orang Melayu khususnya dikatakan ektremis?
“Jika begitu, yang ektremis adalah orang seperti kamu yang tidak tahu menjaga sensitiviti majoriti rakyat beragama Islam di negara ini.
“Kami tetap kekal dengan pendirian kami, agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh memecat orang seperti ini dalam barisan kabinet Malaysia,” tegas beliau. – NasionalDaily