BERITA UTAMA

Amanah menjunjung kasih titah Sultan Selangor, elakkan fahaman ekstrimisme – Faiz

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menjunjung kasih titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam yang berdukacita dengan kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi peringatan kepada para alim ulama, peguam, hakim, wakil rakyat dan termasuk Raja-raja Melayu berkaitan kes Nik Elin.

Sultan Selangor turut mengingatkan Presiden Pas untuk tidak membuat kenyataan mengelirukan dan membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan perpaduan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu di negara ini.

Justeru, Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil mewakili parti Amanah menzahirkan kerisauan mengenai kenyataan Abdul Hadi atas sentimen perkauman dan agama yang menjurus kepada bibit perpecahan di kalangan orang Melayu Islam.

Katanya, menjadi tugas hakiki pihak berkuasa untuk membendung kecurangan pemikiran ala khawarij ini daripada menebal di kalangan umum terutama generasi muda. 

“Amanah menegaskan, kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam perlu dipelihara dan di mana kedudukan Islam sepertimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan telahpun terjamin.

“Hakikatnya, Islam terus subur dalam negara ini walaupun Presiden Pas terus menerus cuba menyalahkan Perlembagaan Persekutuan bagi membangkitkan kebencian di kalangan umat Melayu Islam.

“Kami menyeru semua pihak untuk menghormati Perlembagaan Persekutuan bagi menjamin perpaduan di kalangan rakyat dan kestabilan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Faiz menasihatkan semua pihak menggunakan kaedah dakwah dengan hikmah yang dianjurkan Islam dan mengelak sebarang bentuk ekstrimisme dan provokasi. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *