KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia mengecam sikap tidak beradab sesetengah pimpinan politik terhadap institusi Raja-raja Melayu.
Ketuanya, Dr. Akmal Saleh menegaskan, kenyataan mereka itu telah mewujudkan prasangka terhadap raja-raja.
Kata beliau, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengaitkan titah Sultan Selangor dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah tidak beradab.
“Begitu juga kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim mengulas titah Yang di-Pertuan Agong sempena pembukaan Parlimen Penggal Keempat dengan menyatakan Agong telah crossed the line.
“Dua ahli politik ini membuat kenyataan amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan serta nasihat kepada raja-raja Melayu.
“Saya yakin konteks disampaikan Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor bertujuan memastikan keharmonian, kestabilan dan kesatupaduan rakyat Malaysia terus terpelihara dan fokus diberikan sepenuhnya kepada usaha memajukan negeri dan negara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Dr. Akmal juga yakin Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Selangor amat arif dan mendapat nasihat serta pandangan cukup berkenaan soal perlembagaan serta tugas sebagai pemelihara Islam agama rasmi Malaysia.
Tegas beliau, Pemuda UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak menghormati institusi raja dan akan terus menegur mana-mana individu atau parti yang melakukan sedemikian.
Beliau juga menyarankan, satu undang-undang khas digubal oleh kerajaan dan Parlimen untuk mengawal sebarang tindakan tidak beradab, malah derhaka terhadap institusi raja-raja Melayu sejajar dengan prinsip Rukun Negara.
Katanya, institusi raja bukan modal untuk sesiapa meraih dividen politik bagi survival mana-mana individu atau parti, tetapi ia harus dimartabat, dipelihara dan dihormati. – NasionalDaily