BERITA UTAMA

Bekas ADUN Tronoh, Paul Yong kekal bersalah rogol amah

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan di sini, mengekalkan sabitan bersalah ke atas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berkait kes merogol pembantu rumahnya lima tahun lalu.

Sinar Harian melaporkan, keputusan itu dibuat panel tiga hakim dengan majoriti 2-1 diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Azman Abdullah (menolak rayuan Paul selaku perayu), manakala Hakim Datuk SM Komathy menentang keputusan majoriti.

Bagaimanapun, mahkamah mengurangkan hukuman penjara daripada 13 tahun kepada lapan tahun dengan mengekalkan hukuman dua sebatan.

Pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati Paul bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik rumahnya antara jam 8.15 hingga 9.15 malam 7 Julai 2019.

Susulan itu, dia yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman bagi pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Abdul Wahab ketika membacakan penghakimannya berkata, pembelaan hanya bersifat penafian semata-mata dan suatu pengiraan bersifat pemikiran.

Ketika memberikan keterangan membela diri secara bersumpah, Paul menyatakan dakwaan rogol tersebut adalah satu konspirasi politik bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan kelebihan tiga undi.

Turut dipanggil sebagai saksi pembelaan ialah isterinya, Too Choon Looi dan bapa saudara mangsa.

Paul dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh pada 23 Ogos 2019 dan diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut pada 7 Disember 2021.

Pada 15 Disember 2020, Mahkamah Persekutuan memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi daerah sama.

Perbicaraan kes telah bermula pada 5 April 2021 dengan 23 saksi termasuk dua saksi terlindung telah dipanggil untuk memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

Pada 1 Disember tahun lalu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dimaklumkan akan mengetuai pasukan pembelaan dalam rayuan bekas Paul terhadap sabitan, hukuman itu bersama peguam Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir dalam rayuan itu. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *