BERITA UTAMA

Pendakwaan in absentia boleh dilakukan ke atas menantu Muhyiddin – Peguam

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh membuat pendakwaan in absentia ke atas Datuk Seri Muhammad Adlan walaupun berada di luar negara dan belum Kembali ke tanah air.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sungguhpun pendakwaan seperti itu jarang berlaku, tetapi pendakwaan ke atas menantu mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu boleh dilakukan mengikut undang-undang.

“Pendakwaan in absentia jarang berlaku, (tapi) pendakwaan terhadap Muhammad Adlan yang belum kembali ke tanah air untuk berdepan tuduhan termasuk pecah amanah boleh dilakukan mengikut undang-undang.

“Kebiasaannya pihak berkuasa akan menahan atau menangkap mereka yang mahu dituduh di mahkamah sebelum melalui proses perbicaraan.

“Sebanyak 99.9 peratus kes pendakwaan dilakukan dengan kehadiran tertuduh, namun jika persoalan sama ada pertuduhan in absentia pernah dilakukan? Jawapannya pernah,” katanya.

Beliau memberi contoh, pendakwaan seumpama itu pernah berlaku pada 2018 membabitkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bapanya, Tan Sri Larry Low Hock Peng berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohamed Haniff menjawab kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bahawa tuduhan tanpa kehadiran terhadap menantu Muhyiddin (adalah) pilihan terakhir.

Bagaimanapun, menurut Azam pihaknya belum mengambil pendekatan itu berikutan yakin Muhammad Adlan masih boleh dikesan dan balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan tersebut. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *