Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow

SUDAH sampai masanya semua ahli politik dan wakil rakyat dalam negara kita berkhidmat dengan penuh ikhlas kepada rakyat dan negara tanpa menerima sebarang gaji, elaun serta pencen.
Tidak beberapa lama dulu kita telah pun didedahkan dengan jumlah pendapatan Ahli Parlimen di negara ini mampu mencecah antara RM30,000 hingga RM40,000 sebulan.
Menurut kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri pada Mac 2025, jumlah itu berikutan seorang Ahli Parlimen adalah layak untuk dibayar Elaun Tetap sebanyak RM25,700 sebulan.
Mereka juga layak untuk menerima elaun serta tuntutan lain mengikut kelayakan yang telah ditetapkan.
Antara elaun dan tuntutan tugas rasmi dalam negara yang boleh diperoleh termasuklah Elaun Hadir Persidangan sebanyak RM400 sehari, selain elaun mesyuarat ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara sebanyak RM300 sehari (semasa Parlimen tidak bersidang).
Antara elaun lain termasuklah elaun mesyuarat Ahli PAC RM250 sehari (semasa Parlimen bersidang), elaun mesyuarat RM300 sehari sekiranya hadir ke sesi taklimat rasmi dan elaun hidup harian RM100 sehari.
Elaun hidup harian dibayar mengikut kehadiran ke Dewan atau perjalanan melebihi 32 kilometer bagi tugas rasmi, selain urusan Dewan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pejabat Perdana Menteri berkata, bagi elaun dan tuntutan tugas rasmi luar negara pula, Ahli Parlimen dibayar elaun makan berjumlah RM340 sehari. Elaun hidup harian pula sebanyak RM170 sehari, selain tuntutan penginapan, pengangkutan serta kerugian pertukaran mata wang asing dan tips 25 peratus daripada elaun makan.
Susulan itu, Perdana Menteri menyinggung kenyataan sesetengah pihak terutamanya Ahli Parlimen sendiri yang mempertikaikan pendapatan mereka adalah sangat rendah sehingga terpaksa berhutang demi untuk menjalani kehidupan seharian.
Perdana Menteri juga menasihatkan setiap Ahli Parlimen untuk bijak mengurus soal kewangan, selain sentiasa memikir dan mengutamakan rakyat yang menerima pendapatan jauh lebih rendah daripada mereka.
Persoalanya kini ialah adakah patut setiap wakil rakyat menerima gaji dan elaun yang banyak pada setiap bulan?
Untuk rekod, semua ahli politik termasuk wakil rakyat sering melaung-laungkan perasaan cinta dan sayang mereka kepada rakyat dan negara serta sanggup berkorban apa sahaja demi rakyat dan negara. Skrip ini sering kedengaran ketika kempen pilihan raya.
Cara terbaik untuk ahli politik dan wakil rakyat ini semua untuk membukti rasa cinta dan sayang mereka pada rakyat dan negara adalah dengan berkhidmat secara percuma sepanjang tempoh perkhidmatan mereka tanpa gaji, elaun serta pencen.
Dengan melaksanakan cadangan drastik ini, kita dapat menjimatkan wang negara. Wang negara yang berjaya dijimatkan ini dapat disalurkan untuk kegunaan sektor yang lebih memerlukan dan penting seperti sektor pendidikan dan kesihatan.
Banyak sekolah, universiti, pusat kesihatan dan hospital dalam negara kita memerlukan wang peruntukan bagi menambahbaik mutu perkhidmatan mereka kepada orang ramai.
Kenapa ahli politik dan wakil rakyat perlu diberi gaji, elaun dan pencen yang banyak sekiranya mereka ingin berkhidmat pada rakyat dan negara? Perkara ini tidak masuk akal lagi.
Oleh yang demikian, sewajarnya kita mengambil satu langkah baru dan drastik dengan memansuhkan sepenuhnya gaji, elaun dan pencen semua ahli politik dan wakil rakyat dalam negara kita.
Tambahan pula pada ketika ini negara kita dan seluruh dunia sedang hadapi masalah ketidaktentuan ekonomi dan masalah kos sara hidup yang tinggi. Rakyat biasa dan para pekerja disemua sektor pekerjaan terpaksa berkerja keras dengan jumlah gaji yang sedikit bagi menampung kehidupan seharian mereka.
Dengan melaksanakan cadangan pemansuhan gaji, elaun dan pencen semua ahli politik dan wakil rakyat ini, banyak wang negara dalam dijimatkan. Segala khidmat dan kerja yang diberikan oleh semua ahli politik dan wakil rakyat ini perlu dilakukan secara ikhlas demi rakyat dan negara.
Maka tidak perlu semua ahli politik dan wakil rakyat ini menerima apa-apa bentuk gaji, elaun termasuk pencen dari sumber kewangan negara. Harap pihak kerajaan dapat mengkaji cadangan ini dengan serius demi keadilan untuk semua rakyat.
Nasihat kepada semua YB “berkhidmatlah secara ikhlas demi rakyat dan negara yang anda sangat cintai selama ini tanpa harapkan gaji, elaun serta pencen”.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
