KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa cadangan pengambilalihan Boustead Plantations Berhad oleh Achi Jaya Plantations Sdn. Bhd. yang dilaporkan bernilai RM4.3 bilion ditangguhkan sehingga semua persoalan berkaitan ketelusan dan tatakelola urus niaga itu dijelaskan secara menyeluruh.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, cadangan transaksi berkenaan perlu diberikan perhatian serius kerana Boustead Plantations bukan sekadar sebuah syarikat perladangan, sebaliknya aset strategik yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan kewangan, simpanan persaraan serta masa depan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurutnya, MCW membantah sebarang usaha memuktamadkan pengambilalihan itu selagi persoalan mengenai ketelusan, pemilikan benefisial, kemampuan kewangan pihak pembeli dan kemungkinan berlakunya konflik kepentingan tidak dijawab secara meyakinkan.
Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum penjelasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bahawa transaksi berkenaan bertujuan memperkukuh kedudukan kewangan serta mempelbagaikan portfolio pelaburannya.
Bagaimanapun, katanya, sebarang pertimbangan komersial tidak seharusnya mengatasi prinsip tatakelola baik, lebih-lebih lagi apabila urus niaga itu membabitkan aset yang mempunyai kepentingan besar kepada anggota dan veteran tentera.
Sehubungan itu, Jais mengemukakan tujuh persoalan yang perlu dijawab secara terbuka sebelum transaksi berkenaan diteruskan.
Antaranya, MCW mahu mengetahui identiti pemilik benefisial sebenar Grand Shine Trading Ltd dan Herolite Investment Ltd yang dilaporkan menguasai 73.78 peratus saham Achi Jaya, selain kedudukan sebenar hak mengundi serta mekanisme penukaran saham yang berpotensi mengubah struktur kawalan syarikat selepas pengambilalihan.
MCW juga mempersoalkan asas pemilihan Achi Jaya berbanding syarikat lain yang dilaporkan turut berminat, termasuk SD Guthrie dan Tradewinds Plantation.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Persoalan lain membabitkan sumber pembiayaan pengambilalihan bernilai RM4.3 bilion itu, termasuk kemungkinan aset Boustead Plantations sendiri digunakan sebagai cagaran bagi membiayai transaksi berkenaan.
Dalam masa sama, MCW mahu penjelasan sama ada terdapat penasihat ekonomi Perdana Menteri, pegawai kerajaan atau individu berkepentingan yang mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan mana-mana pihak terlibat.
Jais turut menegaskan kepentingan memastikan semua individu yang terlibat dalam proses membuat keputusan mengisytiharkan kepentingan perniagaan masing-masing bagi mengelakkan sebarang percanggahan kepentingan.
Katanya, perkara paling utama ialah jaminan bahawa pengambilalihan itu benar-benar memberikan manfaat jangka panjang kepada anggota dan veteran tentera, bukannya menguntungkan kelompok tertentu semata-mata.
” Penasihat kerajaan dilantik untuk menjaga kepentingan negara, bukannya kepentingan perniagaan sendiri atau mana-mana kelompok korporat.
” Aset strategik negara bukan milik mana-mana pemimpin, penasihat ekonomi atau kelompok korporat. Ia merupakan amanah yang wajib diurus dengan penuh integriti dan tanggungjawab,” katanya.
Bagi memastikan tiada persoalan berbangkit dibiarkan tanpa penelitian, MCW turut menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meneliti transaksi berkenaan secara bebas dan menyeluruh.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula diminta menjalankan siasatan sekiranya terdapat asas munasabah yang menunjukkan kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa atau konflik kepentingan.
Jais berkata, kepentingan jangka panjang anggota dan veteran tentera serta kepentingan negara perlu menjadi keutamaan dalam setiap keputusan membabitkan pelupusan atau pengambilalihan aset strategik.
“Jangan sampai keuntungan jangka pendek mengorbankan kepentingan generasi akan datang,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
