Tabung khas perlu diwujudkan segera bagi selamatkan tanah penduduk Manjoi

TAMBUN – Cadangan mewujudkan tabung khas bagi membantu penduduk Gugusan Manjoi, Ipoh, mempertahankan pemilikan tanah masing-masing perlu diberikan perhatian serius dan dilaksanakan segera bagi mengelakkan warisan lebih 100 tahun itu terancam akibat kekangan kewangan.

Pengerusi Penyelaras Program DUN Manjoi merangkap Jawatankuasa UMNO Bahagian Tambun, Azrin Ahmad Kadri berkata, penubuhan tabung berkenaan amat penting bagi membantu penduduk, khususnya golongan berpendapatan rendah, menanggung kos permohonan pelanjutan tempoh pajakan atau pemberimilikan semula tanah.

Menurutnya, Gugusan Manjoi yang merupakan antara perkampungan Melayu terbesar di Malaysia, mempunyai nilai sejarah yang cukup besar dengan keluasan melebihi 500 hektar dan telah dibuka sejak lebih satu abad lalu.

Beliau berkata, walaupun peringatan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad supaya pemilik tanah menyemak tempoh pemilikan masing-masing merupakan langkah penting, hakikatnya masih ramai penduduk berdepan kesukaran kewangan untuk menguruskan proses berkaitan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

“Justeru, tabung khas perlu diwujudkan sebagai jaringan keselamatan kepada penduduk supaya mereka tidak kehilangan hak pemilikan tanah hanya disebabkan ketidakmampuan menyediakan kos permohonan.

“Bantuan ini boleh meliputi urusan permohonan di bawah Seksyen 90A dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara, tertakluk kepada syarat serta kelulusan pihak berkuasa negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrin berkata, pengurusan tabung berkenaan perlu dilaksanakan secara telus, tersusun dan mempunyai mekanisme penyaluran bantuan yang jelas.

Katanya, kerjasama antara kerajaan negeri, wakil rakyat dan persatuan penduduk amat diperlukan bagi memastikan bantuan sampai kepada pemilik tanah yang benar-benar memerlukan.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Beliau menegaskan, isu pemilikan tanah di Gugusan Manjoi tidak seharusnya dilihat semata-mata daripada sudut nilai hartanah atau urusan pentadbiran tanah kerana ia turut membabitkan sejarah, identiti dan kesinambungan kehidupan masyarakat setempat.

“Tanah di Manjoi bukan sekadar aset atau harta pusaka, sebaliknya lambang warisan masyarakat Melayu yang telah bertapak di kawasan ini lebih 100 tahun.

“Kita tidak mahu generasi hari ini menjadi generasi terakhir yang mewarisi tanah berkenaan hanya kerana kegagalan menyelesaikan urusan pajakan atau pemberimilikan semula akibat kekangan kewangan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri Perak dapat mempertimbangkan cadangan penubuhan tabung khas berkenaan dengan segera bagi memastikan hak pemilikan tanah penduduk Manjoi terus terpelihara dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *