Faizah persoal ADUN Sijangkang berkecuali dalam undian Belanjawan Selangor 2027

SIJANGKANG – Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi mengambil pendirian berkecuali ketika pengundian Belanjawan Selangor 2027 mengundang persoalan apabila tindakan itu dilihat tidak selari dengan kepentingan pembangunan dan kebajikan penduduk kawasan berkenaan.

Penyelaras Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Sijangkang, Datin Faizah Ariffin berkata, pendirian wakil rakyat itu memerlukan penjelasan, terutama apabila belanjawan negeri berjumlah RM3.3 bilion berkenaan merangkumi pelbagai peruntukan yang boleh dimanfaatkan masyarakat setempat.

Antara peruntukan yang menjadi perhatian ialah RM36.45 juta bagi melaksanakan 47 projek tebatan banjir, RM19.38 juta untuk 25 projek sistem saliran dan perparitan serta RM38 juta bagi program kesihatan rakyat.

Menurut Faizah, peruntukan berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan keperluan penduduk Sijangkang yang masih berhadapan pelbagai masalah, termasuk kejadian banjir, sistem perparitan tidak sempurna, kerosakan jalan raya, kemudahan awam dan peningkatan kos sara hidup.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Beliau berkata, isu banjir khususnya bukan perkara baharu di kawasan itu, malah Ahmad Yunus sendiri pernah membangkitkan masalah berkenaan di Seri Cheeding serta kawasan sekitar pembangunan Loji Rawatan Air Sungai Rasau ketika membahaskan belanjawan berkenaan.

Justeru, katanya, keputusan untuk berkecuali dalam pengundian belanjawan yang turut menyediakan peruntukan bagi menangani masalah infrastruktur dan keperluan rakyat menimbulkan persoalan mengenai asas pertimbangan yang digunakan.

“Isu banjir dan keperluan infrastruktur di Sijangkang perlu diberikan perhatian serius. Namun, pendirian beliau untuk berkecuali dalam pengundian belanjawan yang turut menyediakan peruntukan bagi menangani masalah tersebut memerlukan penjelasan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain pembangunan infrastruktur, Faizah turut mengingatkan supaya kebajikan masyarakat Orang Asli di Sijangkang tidak dipinggirkan, khususnya dalam aspek pendidikan, peluang pekerjaan, kemudahan asas, perumahan, kesihatan dan isu berkaitan tanah adat.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Beliau berkata, semua perkara itu memerlukan perhatian berterusan daripada wakil rakyat dan kerajaan negeri kerana ia menyentuh keperluan asas serta masa depan masyarakat yang tinggal di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Faizah meminta Ahmad Yunus menjelaskan sebab sebenar beliau mengambil pendirian berkecuali, termasuk sama ada pandangan dan kepentingan penduduk Sijangkang sudah dipertimbangkan sebelum keputusan itu dibuat.

Beliau turut mempersoalkan apakah alternatif atau cadangan lain yang dikemukakan bagi memastikan masalah pembangunan dan kebajikan masyarakat setempat tetap mendapat perhatian sekiranya terdapat perkara dalam belanjawan yang tidak dipersetujui.

Pada masa sama, Faizah menggesa kerajaan negeri dan agensi berkaitan supaya tidak melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir, menaik taraf sistem perparitan serta memastikan peruntukan yang diluluskan benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran.

Katanya, kelulusan peruntukan dalam belanjawan perlu disusuli pelaksanaan yang berkesan supaya penduduk tidak terus berhadapan masalah sama setiap kali musim hujan atau apabila berlaku gangguan kemudahan awam.

“Kebajikan rakyat tidak seharusnya dijadikan pertimbangan berdasarkan perbezaan politik. Banjir, kemiskinan dan kesusahan hidup tidak mengenal parti.

“Keutamaan setiap wakil rakyat adalah memastikan hak dan kebajikan masyarakat yang diwakili terus terbela,” katanya.

Isu berkenaan sekali lagi memperlihatkan pentingnya peranan wakil rakyat dalam membawa suara kawasan masing-masing ketika perbahasan dan pengundian belanjawan negeri, khususnya apabila keputusan yang dibuat mempunyai kaitan dengan peruntukan pembangunan serta kesejahteraan penduduk.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *