KUALA LUMPUR – GTA Holdings Berhad merekodkan hasil sebanyak RM123.26 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026) meningkat 126.6 peratus berbanding RM54.39 juta pada suku sebelumnya.
Kumpulan penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan itu turut mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM14.35 juta, berbanding RM4.03 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026.
Keuntungan kasar kumpulan meningkat kepada RM30.46 juta, dengan margin keuntungan kasar sebanyak 24.7 peratus, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM21.75 juta.
“Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2026, GTA Holdings merekodkan hasil RM267.34 juta dan PAT sebanyak RM30.32 juta, dengan margin keuntungan kasar meningkat kepada 23 peratus berbanding 21.5 peratus bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026,” katanya.
Mengikut pecahan segmen, kerja penyelenggaraan menyumbang hasil tertinggi sebanyak RM53.07 juta pada suku ketiga, diikuti jualan peralatan penerbangan sebanyak RM51.78 juta.
Menurut kumpulan, peningkatan hasil suku ketiga didorong terutamanya oleh pengiktirafan hasil berdasarkan pencapaian peringkat bagi satu enjin pesawat sayap tetap baharu di bawah kontrak Floating Stocks dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Peningkatan itu turut disokong penyelesaian kerja penyelenggaraan utama dan penyerahan semula enjin yang dibaik pulih kepada pelanggan utama dalam suku berkenaan.
GTA Holdings berkata, prestasi keuntungan turut mendapat manfaat daripada harga pembaikan lebih tinggi dipersetujui dengan pelanggan, selain kos bekalan import lebih rendah susulan pengukuhan ringgit berbanding euro.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pengarah Urusan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif GTA Holdings, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata, kemunculan kumpulan sebagai syarikat tersenarai awam menandakan permulaan fasa baharu, namun komitmennya untuk memperoleh dan mengekalkan kepercayaan pemegang saham, pelanggan serta pihak berkepentingan kekal menjadi keutamaan.
Menurut beliau, keyakinan bukan dibina melalui janji semata-mata, sebaliknya menerusi prestasi konsisten, pelaksanaan berdisiplin, pengurusan modal secara berhemat dan tadbir urus yang telus.
“Keutamaan kami adalah menterjemahkan aspirasi pertumbuhan kepada prestasi perniagaan mampan dan nilai jangka panjang kepada pemegang saham serta melabur secara strategik dalam keupayaan, bakat dan kerjasama yang akan mengukuhkan kedudukan daya saing kami dalam industri aeroangkasa.
“Setiap keputusan dibuat akan dipandu oleh tujuan yang jelas, iaitu melindungi kepercayaan diberikan kepada kami, menyampaikan pertumbuhan secara bertanggungjawab dan membina organisasi berdaya tahan serta bersedia menghadapi masa depan, sekali gus mewujudkan nilai berkekalan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama satu sen sesaham biasa secara satu peringkat, membabitkan jumlah pembayaran kira-kira RM12.91 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Dividen itu akan dibayar pada 30 Disember 2026 kepada pemegang saham yang namanya tercatat dalam Rekod Pendeposit pada 9 Disember 2026.
Bagaimanapun, keputusan suku ketiga turut mengambil kira perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah kira-kira RM4.32 juta.
Jika perbelanjaan itu dikecualikan bagi tujuan ilustrasi, PAT terlaras kumpulan dianggarkan RM18.67 juta.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
