KUCHING: Parti Demokratik Progresif (PDP) akan mempertahankan semua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dimiliki parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata pendirian parti itu jelas untuk mengekalkan semua kerusi berkenaan pada PRN Sarawak ke-13, selain berharap perkara itu dapat diselesaikan secara baik dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau berkata, perkara berkenaan perlu dibangkitkan berikutan tekanan daripada ahli parti yang bimbang beberapa kerusi dimenangi PDP sebelum ini mungkin tidak lagi dianggap sebagai kerusi tradisi parti itu.
“PDP sebelum ini kehilangan tiga kerusi, namun tidak membangkitkan perkara berkenaan demi menjaga keharmonian dalam gabungan.
“Namun, sekarang ahli-ahli PDP amat bimbang mengenai kerusi yang tidak lagi dianggap sebagai kerusi tradisi,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya GPS yang di sempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini hari ini.
King Sing yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya turut menegaskan beliau belum menghantar sebarang senarai nama calon kepada Pengerusi GPS, sekali gus menafikan dakwaan yang tersebar bahawa senarai calon PDP bagi PRN ke-13 sudah dikemukakan.
Katanya, beliau akan mengemukakan senarai calon bagi kawasan yang ditandingi PDP kepada Pengerusi GPS, esok mengikut saranan yang diberikan sebelum ini.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap pertimbangan faktor usia dalam pemilihan calon, namun tidak mempunyai masalah sekiranya GPS memutuskan faktor itu tidak lagi perlu diambil kira.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Katanya, PDP bersedia mempertahankan semua kerusi yang dimiliki parti itu dan menyerahkan kepada kebijaksanaan Abang Johari selaku Premier Sarawak dan Pengerusi GPS untuk memastikan keharmonian serta perpaduan gabungan terus terpelihara.
Beliau turut menyeru semua komponen GPS menolak politik kebencian dan perpecahan berasaskan kaum, agama atau sesama parti, sambil menegaskan kekuatan gabungan itu terletak pada persefahaman, kerjasama, saling menghormati serta prinsip perkongsian kuasa bagi memastikan kemenangan besar pada 12 Disember ini.
Untuk rekod, lima daripada lapan kerusi PDP ketika ini iaitu Tasik Biru, Meluan, Krian, Marudi dan Dudong dimenangi parti itu dalam PRN Sarawak ke-12, manakala bakinya iaitu Bawang Assan, Engkilili dan Ba’kelalan diperoleh susulan pembubaran Parti Sarawak Bersatu (PSB) serta penyerapan ahlinya secara blok ke dalam PDP. – Berita Harian
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
