KUALA LUMPUR: Penggunaan istilah tidak tepat dalam laporan mengenai 54 rakyat Malaysia yang masih hilang susulan banjir di Nepal dan Tibet boleh jejas tuntutan insurans keluarga mangsa.
Perkara iti didedahkan oleh Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH).
Penyelaras merangkap jurucakap MASFIH, Dr R Manivannan, berkata laporan yang menggambarkan mereka sebagai peserta aktiviti pendakian dan ekspedisi tidak mencerminkan tujuan sebenar perjalanan, malah berpotensi menyukarkan proses tuntutan insurans.
“Dalam penilaian tuntutan insurans, jenis aktiviti yang dilakukan sepanjang perjalanan boleh menjadi faktor penting kerana sesetengah polisi mempunyai terma, syarat dan pengecualian khusus berkaitan aktiviti berisiko tinggi seperti pendakian dan ekspedisi.
“Kami tidak mahu keluarga yang sudah lama menanggung ketidakpastian mengenai nasib insan tersayang berdepan persoalan dan kesukaran tambahan hanya disebabkan gambaran perjalanan mereka yang tidak tepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manivannan berkata, daripada jumlah itu, 42 individu berketurunan India adalah rakyat Malaysia yang menyertai ziarah keagamaan ke Gunung Kailash di Tibet.
Baki 12 lagi terdiri daripada 11 orang Melayu dan seorang Cina yang melancong menggunakan jip menuju ke Tibet untuk menikmati pemandangan alam semula jadi Nepal, bukannya menyertai ekspedisi pendakian atau mendaki gunung.
“Penting untuk membezakan antara ziarah keagamaan, pelancongan biasa dan aktiviti pendakian.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Melawat kawasan pergunungan atau menikmati keindahan alam semula jadi tidak bermakna seseorang itu menyertai aktiviti mendaki, mendaki gunung atau ekspedisi pendakian,” katanya.
Sehubungan itu, MASFIH turut menggesa media yang menggambarkan rakyat Malaysia terbabit sebagai pendaki supaya membuat pembetulan serta mengesahkan tujuan sebenar perjalanan sebelum menerbitkan laporan.
Dalam perkembangan berkaitan, Manivannan berkata, permohonan kumpulan itu sejak 27 September lalu untuk mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan Kementerian Luar masih belum mendapat tarikh.
Sementara itu, permintaan untuk bertemu Menteri Luar pula ditolak, meskipun menteri berkenaan masih belum mengadakan pertemuan rasmi dengan keluarga mangsa atau kumpulan itu.
Katanya, pertemuan berkenaan bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai proses pengisytiharan kematian di Nepal, pengiktirafan serta implikasi perundangannya di Malaysia, dokumen yang diperlukan dan perlindungan hak keluarga sekiranya individu yang diisytiharkan meninggal dunia itu kemudian ditemukan masih hidup.
“MASFIH juga sudah meminta Kementerian Luar menyelaraskan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya keluarga mendapat penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan.
“Ahli keluarga tidak sepatutnya terus perlu berusaha mendapatkan pertemuan semata-mata untuk memperoleh jawapan kepada persoalan yang menjejaskan status, hak dan masa depan mereka,” katanya.
Sehingga kini, seramai 54 rakyat Malaysia masih belum ditemukan susulan banjir kilat di Rasuwagadhi, Nepal pada 26 Ogos lalu. – Berita Harian
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
