KOTA BHARU: Empat pantai popular di Kelantan diletakkan di bawah amaran bendera merah berikutan keadaan laut bergelora sepanjang Monsun Timur Laut 2026/2027.
Lokasi berkenaan membabitkan Pantai Geting di Tumpat, Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu, Pantai Irama di Bachok dan Pantai Bisikan Bayu di Pasir Puteh.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Lt Kol Mohd Farid Ishak, berkata bendera merah mula dinaikkan sejak 27 Oktober lalu bagi memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memasuki kawasan air berikutan ombak dan arus kuat.
Katanya, bendera itu dipasang di kawasan pantai yang mencatatkan ketinggian ombak sehingga 1.5 meter bagi menghalang pengunjung daripada berenang atau melakukan aktiviti air.
“Keadaan laut bergelora berisiko tinggi menyebabkan kejadian lemas, terutama disebabkan arus bawah laut yang kuat dan boleh menarik perenang ke tengah laut, walaupun permukaan air kelihatan tenang,” katanya ketika dihubungi.
Selain memasang bendera merah, APM turut meletakkan papan tanda
amaran di sepanjang pantai bagi memaklumkan pengunjung mengenai bahaya berkenaan.
“Pengunjung pantai dinasihatkan supaya tidak berenang atau melakukan sebarang aktiviti air di kawasan yang dipasang bendera merah kerana keadaan laut tidak selamat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Mereka juga perlu mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga masing-masing,” katanya.
Beliau berkata, anggota penyelamat pantai APM turut ditugaskan memantau kawasan berkenaan bagi memastikan pengunjung mematuhi arahan keselamatan dan tidak memasuki air.
Mohd Farid berkata, orang ramai perlu mengambil serius amaran itu memandangkan Monsun Timur Laut 2026/2027 dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.
Katanya, Kelantan antara negeri Pantai Timur yang berisiko mengalami hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora sepanjang musim monsun.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fasa awal monsun dari November hingga Januari 2027 dijangka menyaksikan tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan yang boleh menyebabkan banjir di kawasan tanah rendah dan berhampiran sungai.
Angin kencang timur laut berterusan juga boleh menyebabkan laut bergelora serta peningkatan paras air laut di Laut China Selatan. – Berita Harian
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
