KUALA LUMPUR – Anggapan penggunaan bahasa Inggeris lebih profesional, berwibawa dan sesuai dalam urusan perundangan berbanding bahasa Melayu perlu diperbetulkan kerana mentaliti sedemikian berpotensi melemahkan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam institusi negara.
Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan berkata, selepas hampir 70 tahun negara mencapai kemerdekaan, penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman sepatutnya sudah diperkasakan secara lebih menyeluruh, termasuk dalam prosiding, penghujahan dan penyampaian penghakiman.
Beliau berkata, persoalan mengapa bahasa Inggeris masih begitu dominan dalam sebahagian amalan perundangan negara wajar dibangkitkan memandangkan Malaysia mempunyai asas perlembagaan dan peruntukan undang-undang yang mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Menurutnya, Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, manakala Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 memperuntukkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam prosiding mahkamah, tertakluk kepada pengecualian yang dibenarkan atas pertimbangan kepentingan keadilan.
“Sudah hampir tujuh dekad negara merdeka, tetapi sampai bilakah bahasa Melayu perlu terus membuktikan kelayakannya untuk digunakan di mahkamah sendiri?
“Persoalannya bukan sama ada bahasa Inggeris perlu ditolak, tetapi mengapa bahasa kebangsaan belum diberikan kedudukan sewajarnya dalam amalan kehakiman, sedangkan undang-undang negara sudah menyediakan asas untuk tujuan itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas laporan MalaysiaGazette bertajuk ‘Sampai bila mahkamah mahu terus bergantung kepada bahasa Inggeris? – Peguam’ yang disiarkan pada 22 November 2026, berhubung gesaan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman negara.
Nik Saiful berkata, kebergantungan terhadap bahasa Inggeris dalam bidang perundangan mempunyai kaitan dengan sejarah pendidikan dan pembentukan sistem kehakiman ketika negara masih berada di bawah pengaruh pentadbiran British.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Katanya, sebahagian hakim kanan dan pengamal undang-undang generasi terdahulu mendapat pendidikan perundangan di England, sekali gus menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang lebih biasa digunakan dalam pembacaan autoriti, penyediaan dokumen dan penghujahan kes.
Bagaimanapun, beliau berpendapat latar sejarah berkenaan tidak seharusnya terus dijadikan alasan untuk mengekalkan budaya yang meletakkan bahasa Inggeris pada kedudukan lebih tinggi daripada bahasa kebangsaan.
Sebaliknya, perkembangan pendidikan tinggi tempatan yang melahirkan ramai graduan undang-undang, hakim dan pengamal perundangan berkelayakan membuktikan negara mempunyai kemampuan membangunkan sistem kehakiman dengan acuan sendiri.
Beliau memberikan contoh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang merupakan graduan undang-undang Universiti Malaya pada 1982, serta bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, yang mengikuti pengajian undang-undang melalui program luaran University of London di Institut Teknologi MARA, sebelum memperoleh ijazah pada 1975.
Selain itu, beliau turut merujuk Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah, sebagai antara tokoh kehakiman yang mempunyai latar pendidikan perundangan tempatan.
Katanya, pencapaian tokoh berkenaan memperlihatkan bahawa institusi pendidikan negara mampu menyediakan tenaga profesional yang berwibawa tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada sistem pendidikan luar.
“Apabila kita sudah mampu melahirkan hakim dan pemimpin kehakiman sendiri, mengapa kita masih perlu berasa kurang yakin terhadap kemampuan bahasa sendiri?
“Profesionalisme seseorang peguam tidak sepatutnya diukur berdasarkan bahasa Inggeris yang digunakan, sebaliknya melalui penguasaan undang-undang, ketepatan hujahan, keupayaan berhujah dan integriti ketika menjalankan tanggungjawab,” katanya.
Beliau turut berkongsi pengalaman ketika mengendalikan urusan perundangan apabila mendapati terdapat keadaan yang menyaksikan peguam, anak guam dan hakim terdiri daripada individu berbangsa Melayu, namun penghujahan masih dilakukan dalam bahasa Inggeris.
Keadaan itu, katanya, menimbulkan persoalan sama ada penggunaan bahasa tersebut benar-benar diperlukan atas faktor teknikal dan kepentingan keadilan atau sekadar diteruskan kerana kebiasaan yang diwarisi sejak zaman pentadbiran kolonial.
Nik Saiful berkata, tanggapan bahasa Inggeris lebih profesional daripada bahasa Melayu perlu dinilai semula kerana ia boleh mewujudkan persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak mempunyai kemampuan untuk mengendalikan urusan rasmi dan teknikal yang kompleks.
Beliau turut membandingkan amalan di negara lain mempertahankan bahasa rasmi masing-masing dalam institusi kehakiman, termasuk Thailand menggunakan bahasa Thai dalam prosiding mahkamah walaupun membabitkan tertuduh warga asing.
Menurutnya, penggunaan bahasa rasmi negara dalam sistem kehakiman tidak bermakna bahasa lain diketepikan kerana kemudahan jurubahasa boleh disediakan bagi memastikan pihak yang terlibat memahami perjalanan prosiding dan mendapat akses kepada keadilan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pendirian memperkasakan bahasa Melayu tidak bermaksud menolak kepentingan bahasa Inggeris, khususnya dalam merujuk perkembangan undang-undang antarabangsa, dokumen teknikal serta prinsip undang-undang lazim atau common law.
Katanya, penguasaan bahasa Inggeris kekal sebagai satu kelebihan kepada pengamal undang-undang, namun kemahiran itu tidak seharusnya dijadikan ukuran untuk menentukan tahap profesionalisme seseorang.
Dalam perkembangan sama, beliau berpandangan usaha memperkukuh penggunaan bahasa Melayu di mahkamah perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan memberikan perhatian kepada pembangunan istilah perundangan, latihan profesional dan penghasilan bahan rujukan berkualiti dalam bahasa kebangsaan.
Katanya, institusi kehakiman juga boleh memperluas penggunaan bahasa Melayu dalam pemfailan dokumen, afidavit, penghujahan bertulis, penghujahan lisan dan penyampaian keputusan mahkamah, selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata, pendekatan itu perlu disokong melalui penyelarasan antara badan kehakiman, Majlis Peguam, institusi pengajian tinggi, badan profesional dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi memastikan bahasa Melayu mempunyai keupayaan istilah serta ketepatan makna dalam bidang perundangan.
“Perubahan tidak semestinya dilakukan secara mendadak. Kita boleh melaksanakannya secara tersusun, memperkukuh latihan dan rujukan undang-undang dalam bahasa Melayu, selain mengekalkan ruang penggunaan bahasa Inggeris apabila benar-benar diperlukan demi kepentingan keadilan.
“Yang penting, jangan sampai bahasa Inggeris terus dianggap sebagai lambang profesionalisme, sedangkan bahasa Melayu hanya dilihat sebagai bahasa untuk urusan biasa,” katanya.
Nik Saiful berkata, mahkamah merupakan antara institusi penting yang mencerminkan identiti dan kedaulatan negara, justeru penggunaan bahasa kebangsaan sewajarnya diberikan kedudukan yang selari dengan peranan serta martabat institusi berkenaan.
Menurutnya, usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak seharusnya terhenti pada upacara rasmi, dasar kerajaan atau slogan nasionalisme, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam amalan institusi dan kehidupan profesional.
“Bahasa Melayu bukan bahasa kelas kedua dan bukan sekadar bahasa perhubungan harian. Ia bahasa kebangsaan yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Selepas hampir 70 tahun merdeka, jangan sampai institusi kehakiman kita sudah bebas daripada penjajahan, tetapi keyakinan terhadap bahasa sendiri masih belum benar-benar merdeka,” katanya.
Isu penggunaan bahasa Melayu dalam sistem kehakiman bukan sekadar persoalan bahasa komunikasi, sebaliknya turut menyentuh soal identiti nasional, akses kepada keadilan dan keyakinan terhadap kemampuan institusi negara membangunkan kepakaran menggunakan bahasa sendiri.
Cabaran sebenar bukan untuk menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris, tetapi memastikan bahasa kebangsaan tidak terus berada di kedudukan kedua dalam institusi yang menjadi antara lambang kedaulatan negara.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
