Oleh: Dr. Muzaffar Syah Mallow
ASPEK keselamatan di dalam kawasan sekolah tidak boleh sesekali dipandang ringan oleh mana-mana pihak. Terdapat beberapa kes kemalangan berlaku di kawasan sekolah serta di bawah penyeliaan pihak sekolah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Untuk mengelakkan perkara ini berterusan adalah penting untuk pihak jabatan pendidikan, pengurusan sekolah, pengetua, guru besar, guru serta pihak keselamatan yang berada di sekolah terbabit memastikan aspek kesalamatan dan kesihatan pelajar masing-masing sentiasa terjaga dan terjamin sepanjang masa.
Sebagai sebuah tempat kerja, sekolah juga boleh tertakluk kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514]. Tujuan Akta 514 diwujudkan adalah untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang yang sedang bekerja, melindungi orang yang berada di dalam kawasan tempat kerja dan untuk mengadakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat.
Mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] terbabit, sekolah juga boleh dikategorikan sebagai salah sebuah tempat kerja, yang terdiri daripada guru, kakitangan sekolah dan juga pelajar.
Di dalam kes yang melibatkan sekolah, orang yang bekerja ialah guru, pentadbir dan kakitangan sokongan, manakala istilah orang-orang yang berada dalam kawasan tempat kerja pula merujuk kepada pelajar, kontraktor dan pelawat yang melawati sekolah terbabit.
Sementara pihak pengurusan sekolah ataupun Jabatan Pendidikan boleh diklasifikasikan sebagai “majikan” kepada sekolah. Di sini adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan sekolah untuk memastikan sekolah menjadi suatu tempat yang selamat dan sihat kepada semua guru, kakitangan, pelajar dan pelawat, baik dari segi keselamatan dan juga kesihatan.
Mengikut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] terbabit, antara kewajipan yang perlu dipastikan oleh pihak majikan ialah dengan memastikan setakat yang praktik keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja mereka.
Seksyen 16 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] terbabit juga memperuntukkan bahawa adalah menjadi kewajipan majikan membentuk satu dasar atau polisi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja mereka.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Aspek menjaga keselamatan dan kesihatan ini bukan sahaja terhadap mereka yang bekerja di tempat bekerja terbabit malahan meliputi pihak ketiga yang berada di dalam kawasan tempat pekerjaan terbabit.
Seksyen 17 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] juga memperuntukkan bahawa menjadi tugas seseorang majikan itu bagi memastikan setakat yang praktik bahawa pekerja serta orang-orang lain yang bukan pekerjanya yang mungkin berada sekitar tempat kerja itu tidak terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan.
Seksyen 19 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] memperuntukkan Kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan ini boleh menyebabkan majikan terbabit dikenakan boleh denda sebanyak RM500,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun ataupun kedua-duanya sekali.
Pada tahun 2022, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 [Akta 514] telah dipinda untuk memperkukuh lagi perlindungan keselamatan dan kesihatan pekerja di Malaysia.
Pindaan ini dikenali sebagai Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022. Tujuan utama adalah untuk memastikan tempat kerja yang lebih selamat dan sihat bagi semua pekerja.
Pindaan ini memperluaskan skop tanggungjawab keselamatan kepada lebih banyak tempat kerja, termasuk sektor awam dan pihak berkuasa berkanun. Ini bermakna lebih banyak tempat kerja kini tertakluk kepada peraturan keselamatan yang lebih ketat.
Majikan kini diwajibkan untuk menjalankan penilaian risiko terhadap semua kerja yang akan dijalankan. Penilaian ini bertujuan untuk mengenal pasti dan mengurangkan risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan.
Penalti bagi pelanggaran peraturan keselamatan dan kesihatan telah ditingkatkan untuk memastikan pematuhan yang lebih ketat oleh majikan. Penalti yang lebih tinggi ini bertujuan untuk menggalakkan majikan mengambil langkah keselamatan yang lebih serius.
Pindaan ini menekankan penglibatan pekerja dalam proses keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Pekerja digalakkan untuk mengambil bahagian dalam penilaian risiko dan latihan keselamatan.
Majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja kini diwajibkan untuk melantik seorang Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Coordinator) bagi menyelaras isu-isu keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Pindaan yang telah dilakukan ini penting untuk memastikan bahawa semua pekerja dapat bekerja dalam persekitaran yang selamat dan sihat. Pindaan ini juga memberi kuasa kepada pekerja untuk menuntut hak mereka dan memastikan majikan mematuhi peraturan keselamatan yang ditetapkan.
Pada masa yang sama, terdapat pelbagai usaha telah diambil oleh pihak yang berkaitan dalam negara kita untuk terus memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pelajar disekolah terus terpelihara.
Misalnya pihak Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang telah mengambil inisiatif semenjak beberapa tahun yang lalu mengeluarkan Buku Panduan Program Keselamatan dan kesihatan Pekerjaan di Sekolah.
Buku panduan terbabit banyak memberikan maklumat tentang cara – cara bagaimana untuk menimbulkan kesedaran dan latihan berkenaan dengan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada guru, kakitangan sekolah dan pelajar.
Buku panduan ini juga banyak memberi maklumat mengenai keselamatan di makmal, pejabat dan kantin, keselamatan ketika bersukan, keselamatan dari terjatuh, keselamatan pemakanan di kantin, kesihatan dan kebersihan diri, pengosongan bangunan waktu kecemasan dan pertolongan kecemasan.
Selain daripada itu terdapat juga banyak initiatif berterusan yang diambil oleh pengerak aktivis sosial yang terdapat di negara kita seperti Tan Sri Lee Lam Thye yang telah mengemukakan pelbagai cadangan bernas bagi meningkatkan kesedaran aspek keselamatan dan kesihatan pelajar di sekolah – sekolah.
Segala cadangan yang dikemukakan ini harus dipandang positif dan serius oleh semua pihak terutamanya pihak pengurusan sekolah bagi terus menjamin aspek keselamatan dan kesihatan para pelajar di sekolah terpelihara.
Dr. Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
