TEHRAN: Bahrain mendakwa Iran melancarkan serangan terhadap sebuah kemudahan industri awam di negara itu semalam, menyebabkan kebakaran dan kerosakan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Serangan itu ketika dua kapal tangki minyak turut dilaporkan terkena serangan di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi tumpuan konflik di Asia Barat.
Kerajaan Bahrain berkata, pasukan Pertahanan Awam sedang berusaha memadamkan kebakaran di kemudahan industri berkenaan, namun tidak mendedahkan lokasi atau jenis kemudahan yang diserang.
“Susulan pencerobohan kejam Iran, sebuah kemudahan industri awam menjadi sasaran sehingga menyebabkan kebakaran di lokasi kejadian.
“Pasukan Pertahanan Awam sedang berusaha mengawal kebakaran itu,” menurut kementerian berkenaan.
Penduduk memberitahu AFP mereka melihat asap menjulang di Pulau Sitra, di pantai timur Bahrain, yang menempatkan beberapa kawasan perindustrian termasuk loji penapisan minyak milik syarikat petroleum negara, Bapco.
Dalam perkembangan berkaitan, agensi keselamatan maritim Britain, UKMTO, berkata sebuah kapal tangki terkena objek tidak dikenal pasti ketika melalui Selat Hormuz semalam, manakala sebuah lagi kapal dilaporkan terkena serangan di bilik enjinnya.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kedua-dua kejadian itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Tentera Iran kemudian mendakwa sebuah kapal terbakar selepas memasuki kawasan larangan dan terkena periuk api di selat berkenaan.
Menurut tentera Iran, kapal itu mematikan sistem pengenalan dan navigasinya, sekali gus melanggar amaran serta peraturan pelayaran yang ditetapkan.
Dalam perkembangan lanjut, Kementerian Dalam Negeri Bahrain semalam mengeluarkan amaran kepada penduduk supaya bergerak ke lokasi selamat terdekat susulan ancaman serangan.
Bagaimanapun, amaran itu kemudian ditamatkan sebelum satu lagi amaran dikeluarkan.
Pasukan Pertahanan Bahrain berkata, sistem pertahanan udaranya berjaya memintas beberapa serangan udara Iran.
Serpihan daripada pemintasan itu menyebabkan kerosakan harta benda, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) pula mendakwa pasukan aeroangkasa mereka melancarkan serangan gabungan peluru berpandu dan dron terhadap kedudukan tentera AS di pangkalan Al-Riffa dan Awali di Bahrain.
Menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Iran, IRNA, serangan itu dilakukan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan berterusan dan pelanggaran ruang udara Iran berulang kali.
Komando Pusat AS (CENTCOM) belum memberikan maklum balas terhadap dakwaan berkenaan.
Bahrain dilaporkan berjaya memintas beberapa serangan udara Iran sejak beberapa hari lalu, ketika negara Arab Teluk lain turut berdepan serangan berulang sejak perang tercetus.
Sementara itu, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata delegasi Qatar mengadakan perbincangan dua jam di Tehran pada malam Jumaat, namun tidak memberikan butiran lanjut.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata rundingan yang sedang berlangsung di rantau itu perlu diberi peluang, manakala sekatan terhadap Iran perlu ditamatkan secara rasional.
Beliau menegaskan perbincangan mengenai Selat Hormuz dan pembukaan semula laluan itu tidak akan membawa hasil selagi tuntutan Iran tidak dipenuhi.
Antara tuntutan Tehran termasuk menamatkan perang di semua medan, membebaskan aset Iran yang dibekukan, menarik balik sekatan minyak serta menghentikan sekatan balas AS terhadap pelabuhan negara itu.
Dalam perkembangan lain, Iran mendakwa menembak jatuh sebuah dron AS di Pulau Qeshm, yang terletak di Selat Hormuz, semalam.
Menurut pegawai tentera AS, jet pejuang negara itu menyerang sebuah tapak peluru berpandu Iran di pulau berkenaan Selasa lalu. – AFP
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
