Oleh Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid

BARU-BARU ini tular di media sosial perkhabaran mengenai sekitar 100 kakitangan sebuah akhbar harian tempatan yang dikatakan menerima surat cuti berbayar (garden leave) sebelum penamatan perkhidmatan.
Walaupun penulis tidak berada di bilik berita untuk menyaksikan sendiri keadaan sebenar di sana, apa yang dibaca dan ditatap menerusi laporan di media sudah cukup meruntun jiwa, terutamanya bagi kami di menara gading yang saban hari mendidik generasi pelapis industri itu.
Berita duka tersebut menusuk lebih dalam kerana akhbar itu merupakan antara yang terawal yang merintis sejarah persuratan tanah air dan pernah menjadi suara keramat masyarakat.
Sebagai seorang pensyarah, apabila institusi sebesar itu terpaksa melepaskan sejumlah besar petugasnya, ia bukan lagi sekadar krisis perniagaan syarikat, tetapi satu tamparan hebat kepada seluruh landskap maklumat dan kedaulatan demokrasi negara yang tidak boleh diabaikan.
Pihak berkuasa, khususnya kementerian berkaitan perlu melihat perkembangan yang berlaku sebagai semboyan kecemasan nasional.
Tunggak utama pelaporan berita
Wartawan merupakan tunggak utama dalam pelaporan berita yang sahih, bertindak sebagai benteng yang menapis ribuan fitnah dan maklumat palsu sebelum ia sampai ke minda rakyat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Di sinilah timbul persoalan besar yang patut meresahkan para penggubal dasar dan institusi keselamatan: bagaimana kita mahu memastikan sesuatu berita itu kekal sahih jika agensi-agensi media yang berwibawa dan mempunyai akauntabiliti undang-undang akhirnya terkubur satu demi satu?
Apabila sesebuah bilik berita ditutup, ruang yang ditinggalkan tidak akan kekal kosong sebaliknya, akan segera dibanjiri oleh khabar angin liar di media sosial, pembina kandungan yang mengejar klik murahan, serta tentera siber yang digerakkan oleh agenda sempit yang tidak mempunyai sebarang batas etika mahupun semak dan imbang.
Pihak berkuasa harus sedar bahawa kehancuran media arus perdana akan merosakkan ekosistem maklumat dan keharmonian sosial itu sendiri.
Sebahagian pihak mungkin beranggapan bahawa media sosial peribadi atau pempengaruh upahan sudah mencukupi untuk menyampaikan naratif mereka, namun itu adalah satu tanggapan yang silap.
Tanpa wartawan profesional yang komited kepada kebenaran, tiada siapa yang akan melaporkan dasar-dasar negara secara adil, dan tidak ada lagi pihak yang boleh membela suara rakyat di peringkat akar umbi dengan kredibiliti tinggi.
Kehilangan media tradisional yang beretika hanya akan menyuburkan budaya persepsi, fitnah, dan provokasi yang akhirnya akan merosakkan ketenteraman awam.
Pihak berwajib tidak boleh sekadar sibuk mengawal selia dan menyekat kandungan digital, sebaliknya perlu tampil dengan dasar yang konkrit untuk menyelamatkan industri media, seperti mendesak gergasi teknologi dunia (Big Tech) untuk berkongsi hasil pengiklanan secara adil dengan pengusaha media tempatan, sepertimana yang telah dilaksanakan di beberapa negara maju.
Cabaran graduan industri media
Di dalam dewan kuliah, krisis ini memercikkan rasa gundah yang sangat mendalam dalam kalangan anak didik kami.
Penulis tidak hanya melihat bakal graduan komunikasi dan media, tetapi juga anak-anak muda daripada bidang fotografi, reka bentuk grafik, pemasaran dan multimedia yang sedang bersiap sedia melangkah keluar ke pasaran kerja.
Mereka sering bertanya dengan nada yang sarat kebimbangan sama ada ijazah yang dikejar itu masih bernilai, atau adakah bidang persuratan dan kreatif ini sudah benar-benar mati.
Kepada para pelajar, penulis sentiasa menegaskan bahawa industri persuratan tempatan hari ini sudah jauh lebih moden daripada sekadar mesin cetak dan kertas khabar.
Ia telah berevolusi menjadi hab digital pelbagai platform yang memerlukan kerjasama rentas disiplin daripada graduan komunikasi yang membawa jiwa kewartawanan, graduan fotografi yang membekalkan bukti visual tulen di lapangan.
Sementara, graduan reka bentuk grafik yang menterjemah data kompleks menjadi infografik yang mudah difahami, sehinggalah graduan pemasaran yang membina komuniti pembaca setia bagi memastikan kelangsungan ekonomi bilik berita yang mandiri.
Mereka adalah satu rantaian ekosistem yang saling memerlukan untuk hidup dalam era baharu, namun kepakaran mereka ini sering kali diperlekehkan dengan kehadiran kecerdasan buatan (AI) yang disangka boleh menggantikan peranan manusia.
Sebagai pensyarah yang turut mengkaji teknologi ini, penulis sentiasa mengingatkan bahawa AI tidak pernah melapor berita di dunia nyata sebaliknya, sekadar memproses semula teks yang telah sedia ada di internet.
Algoritma tidak boleh berdiri di lobi mahkamah untuk membaca bahasa tubuh saksi, tidak boleh meredah banjir lumpur demi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada mangsa, dan tidak berupaya mengesan getaran keraguan dalam nada suara seorang menteri semasa sidang media tegang.
AI juga tidak memiliki empati kemanusiaan untuk menahan soalan demi menghormati air mata keluarga mangsa tragedi, apatah lagi membina kepercayaan (human trust) dengan pemberi maklumat (whistleblower) yang mempertaruhkan keselamatan mereka untuk membongkar salah guna kuasa.
Setiap laporan berita membawa nama penulis (byline) sebagai tanda akauntabiliti peribadi dan perundangan, sesuatu yang tidak mampu dipikul oleh algoritma tanpa wajah yang bebas daripada sebarang rasa malu mahupun liabiliti undang-undang.
Pihak korporat dan kerajaan mungkin mampu menutup mata terhadap pengecilan bilik berita demi angka-angka bajet di atas kertas akaun, namun sebuah masyarakat yang membiarkan agensi media runtuh dan wartawan manusianya pupus akhirnya akan menanggung kerugian yang amat dahsyat, iaitu keruntuhan kebenaran di bawah timbunan kepalsuan digital.
Oleh itu, selagi dunia masih memerlukan keadilan dan fakta yang tidak diputarbelitkan, selagi itulah pena, lensa kamera, kreativiti visual, dan kudrat para graduan baharu ini kekal menjadi benteng yang tidak boleh digantikan.
Maka, sudah tiba masanya kerajaan bertindak sebelum bilik berita terakhir di negara ini padam untuk selamanya.
Dr. Afiqah Mior Kamarulbaid ialah Pensyarah Kanan, Komunikasi Media Baharu, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
