
APABILA berbicara tentang prospek kerjaya graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam, minda masyarakat sering kali disogok dengan naratif tradisional.
Lulusan bidang itu biasanya dilihat akan berakhir di bilik darjah sebagai guru, menjadi pensyarah, mutawwif, atau pegawai agama di jabatan kerajaan.
Tidak dinafikan, ini adalah profesion yang mulia dan sentiasa diperlukan. Bagaimanapun, mengecilkan potensi mereka dalam ruang lingkup yang sempit ini merupakan satu kerugian besar kepada negara.
Dalam era digital hari ini, landskap ekonomi global sedang menyaksikan kebangkitan luar biasa “Ekonomi Jingga” atau industri kreatif.
Di Malaysia, industri tersebut bukan lagi sekadar sektor hiburan picisan, sebaliknya merupakan pemacu ekonomi bernilai berbilion ringgit yang merangkumi animasi, permainan video, media digital, penerbitan kontemporari, dan komunikasi korporat.
Persoalannya, di manakah kedudukan graduan Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam dalam ekosistem baharu ini?
Jawapannya mudah: Mereka berada di landasan paling strategik kerana bahasa, budaya, dan naratif adalah nadi utama kepada penghasilan sebarang kandungan kreatif yang berjaya.
Pertama, kita harus melihat potensi besar dalam bidang penyetempatan (localization) dan eksport produk kreatif.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Malaysia kini diiktiraf sebagai antara hab animasi utama di Asia Tenggara melalui kejayaan produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
Pasaran Timur Tengah merupakan lubuk emas yang sangat dahagakan kandungan kreatif mesra keluarga dan berteraskan nilai murni.
Di sinilah graduan bahasa Arab memainkan peranan kritikal sebagai pakar penyetempatan (Localization Specialist) atau penterjemah kreatif (Transcreator).
Mereka bukan sekadar menterjemah teks perkataan demi perkataan, tetapi menyesuaikan dialog karakter, jenaka, dan nuansa budaya sesuatu animasi atau permainan video tempatan agar hidup dan diterima semula jadi oleh audiens di dunia Arab.
Kedua, dalam aspek Kesusasteraan Islam, graduan bidang ini memiliki kelebihan yang tidak ada pada graduan lain.
Trend global masa kini menyaksikan permintaan tinggi terhadap kandungan kreatif patuh syariah dan berteraskan estetika Islam, sama ada dalam bentuk skrip drama, aplikasi gaya hidup digital, novel grafik, mahupun penceritaan digital.
Dengan pemahaman mendalam tentang sastera, falsafah, dan nilai Islam, graduan ini mampu bertindak sebagai penulis skrip, pengarah kreatif, atau perunding kandungan.
Mereka boleh memastikan karya kreatif komersial tempatan mengekalkan kualiti seni yang tinggi tanpa mengorbankan batas etika dan ketulenan budaya Islam.
Selain itu, kepesatan industri penjenamaan komersial seperti fesyen Muslimah, kosmetik halal, dan pelancongan mesra Muslim memerlukan strategi komunikasi yang global.
Syarikat-syarikat tempatan yang mahu melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa memerlukan bakat yang mahir dalam penulisan iklan (copywriting) dan pengurusan media sosial dalam bahasa Arab.
Keupayaan graduan menghasilkan kandungan yang menyentuh emosi pembeli di Asia Barat memberikan kelebihan bersaing yang luar biasa kepada jenama-jenama Malaysia.
Menyedari anjakan paradigma ini, menara gading tidak boleh lagi kekal dengan kurikulum konvensional.
Pendedahan awal melalui subjek-subjek khusus seperti industri kreatif baharu di Malaysia perlu diperkasakan dalam silibus pengajian bahasa.
Pelajar harus diajar melihat bagaimana teori linguistik dan keindahan sastera silam boleh diterjemahkan ke dalam bentuk digital, papan cerita (storyboard), dan strategi pemasaran moden.
Kita mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja alim dalam bahasa al-Quran, tetapi celik digital dan kompetitif di pentas ekonomi jingga.
Oleh itu, sudah tiba masanya ibu bapa, masyarakat dan industri mengubah “cermin mata” mereka terhadap graduan Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam.
Mereka bukan lagi kelompok pasif yang menanti peluang pekerjaan tradisional. Dengan acuan pendidikan yang betul, mereka adalah arkitek budaya, penulis naratif global, dan pemain industri kreatif baharu yang bakal membawa identiti serta nilai murni Malaysia ke persada dunia.
Penulis, Muhammad Akmal Zolmaily ialah ahli USIM Writers Pool (UWP) dan Pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
