ALOR GAJAH – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan keputusan Pakatan Harapan (PH) menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri pada Julai lalu bukan sesuatu yang dijangka, apatah lagi diminta olehnya.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka itu berkata, sepanjang hampir tiga tahun bekerjasama dengan PH dalam kerajaan negeri, beliau sentiasa memberi ruang kepada wakil gabungan berkenaan untuk menjalankan tanggungjawab tanpa sebarang prasangka.
Menurutnya, keputusan yang dibuat PH untuk melepaskan jawatan dalam pentadbiran negeri itu sesuatu yang tidak pernah dijangkakan ketika beliau menerajui kerajaan negeri selepas dilantik sebagai Ketua Menteri pada Mac 2023.
“Sepanjang tempoh saya menjalankan urusan kerajaan, dasar dibuat tanpa prasangka.
“Tetapi mereka mengambil keputusan meletakkan jawatan daripada Kabinet, sesuatu yang tidak kita duga dan tidak kita minta perkara itu berlaku,” katanya dalam temu bual bersama Free Malaysia Today (FMT).
Bagaimanapun, Ab Rauf menegaskan pengunduran wakil PH tidak menjejaskan keupayaan kerajaan negeri untuk meneruskan pentadbiran dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, kerajaan negeri masih berupaya melaksanakan tanggungjawab seperti biasa meskipun tidak lagi mendapat penyertaan wakil PH dalam barisan pentadbiran.
“Tanpa mereka, kita masih boleh meneruskan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pada 16 Julai lalu, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH mengumumkan pengunduran daripada pentadbiran kerajaan Melaka susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Negeri berkaitan pelantikan ADUN lantikan.
Mereka ialah Adly Zahari (Bukit Katil), Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Susulan keputusan itu, Allex melepaskan jawatan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, manakala Kerk meletakkan jawatan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri.
Low dan Leng pula mengundurkan diri daripada jawatan timbalan exco.
Penyelesaian masalah rakyat jadi ukuran kejayaan
Mengulas pencapaian sepanjang menerajui kerajaan negeri, Ab Rauf berkata, beliau tidak mengukur kejayaan berdasarkan jumlah projek mega atau pembangunan berskala besar semata-mata.
Sebaliknya, kepuasan sebenar baginya ialah apabila kerajaan mampu menyelesaikan masalah yang sekian lama membebani kehidupan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan bantuan.
Katanya, pendekatan itu diterjemahkan menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), yang memberi ruang kepada kerajaan negeri mengenal pasti keperluan penduduk secara langsung di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menerusi program berkenaan, aduan penduduk dikumpulkan kira-kira dua bulan lebih awal melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN Melaka (Japerun).
Aduan itu kemudiannya disahkan oleh penghulu dan pejabat daerah sebelum disalurkan kepada wakil rakyat serta exco berkaitan untuk tindakan susulan.
Antara isu yang diberi perhatian termasuk jalan kampung yang belum diturap, kekurangan lampu jalan, kawasan perkuburan yang gelap serta keperluan bantuan lampin pakai buang dan susu kepada pesakit terlantar.
Program itu turut memberi tumpuan kepada masalah kemudahan sekolah, keperluan sektor pertanian serta kebajikan nelayan dan penternak kecil.
Menurut Ab Rauf, kejayaan sesebuah kerajaan tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan projek besar yang dilaksanakan, sebaliknya sejauh mana rakyat dapat merasai manfaat daripada usaha dan kehadiran pemimpin.
“Jangan tanya saya apa pencapaian besar. Pencapaian besar ialah apabila rakyat dapat merasai kehadiran kita dalam menyelesaikan masalah mereka.
“Itulah kejayaan yang saya amat berpuas hati dan tersentuh, apabila rakyat yang memerlukan perhatian dapat menyelesaikan masalah mereka,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
