Persidangan antarabangsa teliti hubungan silang budaya Melayu-Cina November ini

HUBUNGAN sejarah, bahasa, kesusasteraan, seni dan budaya antara masyarakat Melayu dengan Cina akan menjadi tumpuan Persidangan Antarabangsa Silang Budaya Melayu-Cina 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 28 dan 29 November ini di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Persidangan bertemakan ‘Interaksi Silang Budaya Melayu-Cina: Pemangkin Masyarakat MADANI Mendepani Dunia’ itu bertujuan memperluas wacana akademik dan intelektual mengenai hubungan silang budaya kedua-dua masyarakat yang telah terjalin sejak berabad-abad lalu.

Program berkenaan turut membuka ruang kepada pengkaji, ahli akademik, penulis, penggiat seni, pengamal bahasa dan masyarakat umum untuk meneliti pelbagai dimensi interaksi Melayu-Cina, termasuk sumbangannya terhadap pembentukan identiti, perpaduan serta perkembangan tamadun negara.

Penganjur dalam kenyataannya menjelaskan, hubungan antara Alam Melayu dengan China mempunyai latar sejarah yang panjang, malah catatan sejarah China seperti Hou Han Shu menunjukkan hubungan kedua-dua wilayah itu telah wujud sejak 131 Masihi, ketika pemerintahan Dinasti Han.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Hubungan berkenaan kemudiannya semakin kukuh pada zaman Dinasti Ming, khususnya pada 1403 menerusi misi utusan Maharaja Yongle ke Melaka, sebelum berkembang dalam bentuk hubungan diplomatik dan perdagangan.

Perkembangan hubungan tersebut turut dipengaruhi penghijrahan masyarakat dari selatan China ke Tanah Melayu yang membawa bersama bahasa, adat resam, kepercayaan, kesenian dan tradisi kehidupan masing-masing.

Pertemuan budaya yang berlangsung dalam tempoh panjang itu akhirnya membentuk satu ruang interaksi sosial yang turut mempengaruhi perkembangan masyarakat, ekonomi, bahasa dan kebudayaan di rantau ini.

Dalam konteks Malaysia hari ini, interaksi silang budaya Melayu-Cina dilihat mempunyai peranan penting dalam memperkukuh integrasi nasional, memupuk persefahaman antara kaum serta menyokong pembentukan masyarakat MADANI.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Pada peringkat antarabangsa pula, hubungan sejarah dan kebudayaan berkenaan menjadi antara asas penting dalam memperkukuh hubungan diplomatik, pendidikan dan ekonomi Malaysia-China.

Persidangan dua hari itu merangkumi pelbagai subtema, antaranya linguistik tulen dan terapan, bahasa dan kebahasaan, terjemahan dan interpretasi, pengajaran dan pembelajaran, kesusasteraan serta seni dan budaya.

Turut diberi perhatian ialah penggunaan teknologi dalam bidang linguistik, bahasa dan kesusasteraan, perkamusan, peristilahan, politik, hubungan antarabangsa, ekonomi serta kewangan.

Kepelbagaian subtema berkenaan dijangka membuka ruang perbincangan yang lebih luas, khususnya dalam meneliti bagaimana hubungan silang budaya bukan sahaja membentuk warisan masyarakat, malah terus berkembang seiring perubahan dunia moden.

Antara tokoh yang dijadualkan menyampaikan ucaptama ialah Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, serta Profesor Dr. Chong Swee Huat, Pengarah Akademi Pengajian Cheng Ho Antarabangsa Malaysia.

Turut disenaraikan sebagai pengucap tama ialah Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Profesor Madya Dr. Han Xiao @ Indah dari Jabatan Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University, China.

Persidangan itu dianjurkan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) dengan kerjasama DBP, Pusat Pengajian Melayu China, Beijing Foreign Studies University serta Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM).

Penganjuran berkenaan diharap dapat mempertemukan sarjana dan penggiat pelbagai bidang bagi berkongsi hasil penyelidikan, pengalaman serta pandangan mengenai kepentingan hubungan silang budaya dalam membina masyarakat yang saling memahami dan menghormati kepelbagaian.

Selain menjadi medan pertukaran ilmu, persidangan itu turut berpotensi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan wahana komunikasi dalam hubungan antara tamadun.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai persidangan berkenaan boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran melalui kod QR yang disediakan oleh pihak penganjur.

Persidangan berlangsung dari 8.30 pagi hingga 5 petang pada kedua-dua hari, dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada urus setia menerusi e-mel pasbmc2026@outlook.com.

Penyertaan adalah terbuka kepada orang ramai.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *