Oleh: Fakhrul Rozi Taufik Annuar
NILAI – Karnival Kesihatan Pink October 2026 anjuran Usim Healthcare Sdn Bhd dengan kerjasama AEON Mall Nilai sebagai rakan kolaborasi dalam menyediakan aktiviti kesihatan berjaya memberi impak positif di kalangan masyarakat setempat.
Penganjuran karnival ini merupakan sebahagian daripada inisiatif USIM Healthcare dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan kesihatan, khususnya mengenai kanser payudara bersempena kempen Pink October.
Pelbagai aktiviti dan perkhidmatan kesihatan disediakan kepada pengunjung sepanjang program berlangsung, antaranya perkongsian doktor pakar, pemeriksaan gigi, konsultasi kesihatan payudara, perkhidmatan terapi pertuturan (Speech Therapy), terapi carakerja (Occupational Therapy) serta perkhidmatan saringan kesihatan melalui inisiatif PEKA B40 dan HSP Perkeso.
Antara pengisian utama program ialah sesi Pink October Talk bertajuk “Kenali Kesihatan Payudara Anda” yang disampaikan Pakar Perunding Pembedahan, Payudara dan Endokrin, Dr. Nurul Nadia Jamaluddin.
Sesi ini memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan mengenali kesihatan payudara, memahami tanda-tanda awal serta mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Selain itu, karnival turut menyediakan pelbagai reruai kesihatan interaktif yang membolehkan pengunjung mendapatkan maklumat, konsultasi dan pendedahan secara langsung berkaitan penjagaan kesihatan diri dan keluarga.
Kolaborasi bersama AEON Mall Nilai ini merupakan platform strategik untuk membawa perkhidmatan dan pendidikan kesihatan lebih dekat kepada komuniti melalui pendekatan yang santai, mudah diakses dan mesra pengunjung.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Melalui penganjuran program seumpama ini, USIM Healthcare terus komited memperluas peranan sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan bersepadu yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada rawatan klinikal, malah turut menekankan aspek pencegahan penyakit, pendidikan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
USIM Healthcare merakamkan penghargaan kepada AEON Mall Nilai atas kerjasama dan sokongan sebagai rakan kolaborasi dalam menjayakan Karnival Kesihatan Pink October 2026.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
