SHAH ALAM – Status perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) kini dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan pandangan perundangan sebelum sebarang keputusan mengenai penamatan atau pemendekan tempoh perkhidmatannya dibuat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, berkata perkara itu turut dikemukakan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan.
Menurutnya, pandangan AGC diperlukan kerana penugasan Mohd Shuhaily di AKPS dibuat menerusi kontrak peminjaman kader daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama dua tahun, yang pelantikannya mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau menjelaskan, sebarang tindakan yang boleh menjejaskan tempoh perkhidmatan pegawai berkenaan, termasuk kemungkinan penamatan atau pemendekan kontrak, perlu mengambil kira implikasi undang-undang serta syarat pelantikan asal.
“Kita merujuk perkara ini kepada AGC sebab penugasan Datuk Seri Mohd Shuhaily di AKPS untuk tempoh selama dua tahun.
“Dia macam kontrak, jadi kontrak ini dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi, sekiranya berlaku apa-apa perkara yang membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakannya nanti kita bergantung kepada nasihat AGC. Tapi apa pun, perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung penamatan kontrak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), di sini, hari ini.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mohd Khalid berkata, proses mendapatkan pandangan AGC penting bagi memastikan sebarang tindakan terhadap Mohd Shuhaily dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang dan terma kontrak yang telah dipersetujui pihak berkaitan.
Katanya, memandangkan pelantikan pegawai itu di AKPS mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebarang perubahan terhadap tempoh perkhidmatannya juga perlu dikemukakan semula untuk perkenan baginda.
“Beliau diangkat kepada AGC untuk mendapatkan pandangan perundangan sebab beliau ada kontrak yang ditandatangani antara pihak yang berkaitan selama lebih kurang dua tahun. Perkara ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk pelantikan.
“Jadi, bila kita bertindak atas sesuatu perkara, kita perlu dapat balik perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada tempoh perkhidmatan itu dipendekkan atau sebagainya,” katanya.
Menurutnya, selepas proses mendapatkan nasihat perundangan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong diselesaikan, perkara itu akan dikembalikan kepada PDRM untuk tindakan selanjutnya.
Ini kerana Mohd Shuhaily masih merupakan pegawai polis yang sedang berkhidmat dan penugasannya di AKPS dibuat menerusi mekanisme peminjaman daripada pasukan berkenaan.
“Bila selesai proses itu, dia akan dikembalikan kepada PDRM sebab Datuk Seri Mohd Shuhaily ini adalah salah seorang pegawai polis yang masih lagi berkhidmat.
“Sekembalinya nanti, mungkin saya akan memberikan keterangan yang lebih lanjut mengenai perkara yang perlu dilaksanakan atau tindakan susulan, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Azri berkata, sebarang urusan lanjut berhubung isu berkenaan diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ketua Polis Negara untuk dikendalikan mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Bagi PDRM uruskan dulu,” katanya dipetik Berita Harian.
Ketika ditanya sama ada tindakan berkenaan turut membabitkan siasatan, beliau meminta pihak berkaitan menguruskan perkara itu terlebih dahulu bersama kepimpinan tertinggi polis.
Setakat ini, sebarang keputusan mengenai kedudukan Mohd Shuhaily di AKPS masih tertakluk kepada proses perundangan, pertimbangan pihak berkuasa berkaitan serta keperluan mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
