PETALING JAYA – Timbalan Mufti Pahang, Datuk Dr Badli Shah Alauddin mendedahkan beliau terpaksa menjawab aduan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) berhubung ceramahnya yang menyentuh topik generasi ‘strawberi’.
Perkara itu didedahkan beliau ketika menyampaikan kuliah duha di Masjid FELDA Kampung Sertik, Bentong, 18 Oktober lalu, yang dikongsi menerusi rakaman video di saluran YouTube.
Melalui rakaman itu, beliau mendakwa diminta memberikan penjelasan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pahang dalam tempoh tiga hari.
“Saya tak ada nak cerita hal strawberi, saya jadi menyampah nak cerita. Tuan-tuan tahu, saya kena SISPAA tajuk tu?
“Punyalah teruk masyarakat, saya kena jawab. Saya diberi masa tiga hari oleh pihak SUK untuk jawab, kenapa saya ceramah tajuk tu. Malas ceritalah,” katanya.
Beliau berkongsi perkara itu ketika menyuarakan rasa kecewa apabila ceramah mengenai topik berkenaan turut menyebabkan dirinya perlu memberikan penjelasan kepada pihak terbabit.
Video ceramah Dr Badli Shah yang menyentuh perihal generasi itu pernah mencuri perhatian ramai di media sosial pada September lalu, sehingga mengundang pelbagai maklum balas.
Menerusi perkongsian itu, beliau menegur segelintir golongan muda yang disifatkan kurang berdaya tahan apabila berdepan tekanan, teguran dan cabaran.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
