IPOH – Pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua wartawan di Menglembu Ahad lalu, mendakwa kejadian itu berpunca daripada microsleep atau terlelap seketika.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu.
Katanya, hasil ujian air kencing ke atas pemandu lori berusia 35 tahun mendapati lelaki itu negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Pemandu lori itu telah diambil keterangan. Ia memang satu kesalahan iaitu langgar belakang dan tindakan kita akan ambil nanti,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Mohd Alwi berkata, setakat ini, polis belum memperoleh rakaman kamera papan pemuka daripada mana-mana pihak, selain lokasi kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup.
Dalam kejadian itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur Afiradina Arshad, 34, dan wartawan The New Straits Times (NST) Zahratulhayat Mat Arif, 37, mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori pada jam 5.45 pagi.
Kedua-dua mereka yang menaiki kereta Perodua Bezza dalam perjalanan untuk membuat liputan program Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
