KUDAT – Seorang pekerja kapal warga Filipina berusia lingkungan 20-an ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke laut dari sebuah kapal yang berlabuh di Jeti Ko-Nelayan, di sini, malam Isnin.
Mangsa dilaporkan terjatuh ke laut kira-kira jam 10.30 malam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bagi mengesan keberadaannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kudat mengenai kejadian itu pada jam 10.37 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai untuk membantu usaha pencarian.
Menurutnya, rakan mangsa yang menyaksikan kejadian berkenaan terlebih dahulu cuba mencari mangsa dengan menyelam di sekitar jeti dan kawasan yang dipercayai menjadi lokasi mangsa terjatuh. Bagaimanapun, usaha itu gagal menemukannya.
“Berdasarkan laporan diterima, mangsa terjatuh ke dalam laut ketika berada di sebuah kapal yang sedang berlabuh di Jeti Ko-Nelayan.
“Rakan mangsa yang melihat kejadian itu turut melakukan pencarian dengan menyelam di sekitar lokasi, namun mangsa tidak ditemukan,” katanya.
Darikson berkata, operasi SAR kemudiannya dijalankan bersama pihak polis bagi mengesan mangsa di kawasan berkenaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan berikutan keadaan persekitaran yang gelap dan menyukarkan usaha pencarian pada waktu malam. Operasi disambung semula pada pagi Selasa.
“Pencarian disambung pada jam 9.20 pagi menggunakan bot penyelamat bomba di sekitar kawasan jeti.
“Pada jam 10.20 pagi, mangsa akhirnya ditemukan oleh seorang nelayan yang melakukan selaman di lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 11 pagi selepas pasukan penyelamat memastikan keadaan di lokasi terkawal dan tiada bahaya lain yang dikenal pasti.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
