Oleh: Qidwah Aqila Qeshiri dan Nur Afiqah Amanina Mohd Kasim
SEMINAR Antarabangsa Akidah, Agama dan Sains Sosial Kali Ke-15 (SIGMA 15) telah berlangsung pada 7 Oktober 2026 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan tema “Agama sebagai Pemangkin Keamanan Global”.
Seminar ini dianjurkan oleh Program Pengajian Akidah dan Agama, Pusat Akidah dan Jaringan Global (AGENT) serta Persatuan Mahasiswa Pengajian Akidah dan Agama (PERWADAH), di bawah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM.
Sejak mula dianjurkan pada tahun 2010, SIGMA telah menjadi platform akademik yang menghimpunkan para sarjana, penyelidik, pelajar dan pengamal bidang berkaitan untuk bertukar-tukar ilmu serta membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan agama dan masyarakat.
Seminar ini bertujuan untuk mengetengahkan peranan agama dalam memupuk keamanan global serta kepentingan mengurus perbezaan agama dalam masyarakat berbilang kaum dan agama.
Kepentingan seminar ini terletak pada ruang yang disediakan untuk membincangkan bagaimana dialog, pendidikan dan persefahaman agama dapat menyumbang kepada keamanan, termasuk dalam menghadapi cabaran masyarakat hari ini.
Ucaptama Profesor Madya Dr. Odiljon Ernazarov dari International Islamic Academy of Uzbekistan yang bertajuk, “Mengekalkan Keamanan dalam Masyarakat Berbilang Agama: Pengajaran daripada Uzbekistan” (Maintaining Peace in a Multi-Religious Society: Lessons from Uzbekistan) mengingatkan bahawa keamanan bukan sekadar ketiadaan peperangan atau konflik, malah merangkumi kesejahteraan manusia, kestabilan sosial dan hubungan yang harmoni dalam Masyarakat.
Cabaran semasa seperti konflik agama, ekstremisme, ketidaksamaan dan penyebaran maklumat yang tidak benar perlu diberikan perhatian yang serius. Usaha mencapai keamanan memerlukan komitmen berterusan melalui pendidikan, dialog dan persefahaman bersama.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Satu gagasan penting daripada ucaptama ini ialah peralihan daripada toleransi pasif kepada toleransi aktif yang menggalakkan masyarakat mengenali serta memahami individu daripada latar belakang agama yang berbeza.
Selain itu, golongan muda perlu membangunkan pemikiran kritis, menguasai ilmu pengetahuan saintifik dan memperkukuh kefahaman terhadap ajaran agama sendiri, di samping mempelajari agama lain.

Usaha ini penting bagi mengurangkan prasangka, menggalakkan dialog yang membina serta membentuk masyarakat yang lebih aman, inklusif dan harmoni.
Ucaptama Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dari Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), “Dialog Antara Agama dan Sesama Penganut Agama: Kunci kepada Keamanan Global” (Interfaith and Intrafaith Dialogue: Key to Global Peace) meluaskan perbincangan kepada dua ruang yang saling berkaitan: dialog antara penganut agama berbeza dan dialog sesama penganut agama yang sama.
Dialog yang bermakna bukan sekadar pertukaran pandangan. Ia menuntut kesediaan mendengar, memahami perspektif pihak lain dan menjawab dengan adab serta tanggungjawab.
Penekanan terhadap prinsip lita‘arafu dalam Surah al-Hujurat, ayat 13, memberi asas yang jelas kepada usaha saling mengenali. Menghormati manusia yang berbeza pegangan tidak bererti seseorang perlu mengetepikan keyakinan sendiri atau menyamakan semua agama.
Sebaliknya, dialog yang beradab membolehkan perbezaan difahami tanpa menjejaskan pendirian agama masing-masing. Dialog sesama penganut agama pula penting untuk menangani perbezaan dalaman sebelum ia berkembang menjadi perpecahan dan permusuhan.
Kepentingan bersikap lemah lembut, berhikmah dan menjaga adab perlu diberi perhatian serius ketika membincangkan isu agama yang sensitif, khususnya dalam kalangan umat Islam sendiri.
Para peserta turut diingatkan supaya menyemak kesahihan maklumat sebelum menyebarkannya melalui media sosial bagi mengelakkan berita palsu, salah faham dan konflik.
Perpaduan pula bukan bermaksud menghapuskan segala perbezaan, sebaliknya menuntut usaha untuk memelihara persaudaraan, saling menghormati dan mengekalkan hubungan yang harmoni meskipun terdapat perbezaan pandangan.
Input SIGMA 15 amat relevan kepada Malaysia sebagai masyarakat berbilang agama dan budaya. Keharmonian tidak boleh diserahkan kepada slogan atau anggapan bahawa masyarakat akan sentiasa saling memahami dengan sendiri.
Institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan pemimpin agama perlu menyediakan ruang pertemuan yang terancang, meningkatkan literasi agama dan mengajar kemahiran berdialog.
Pada masa sama, komunikasi awam perlu mengelakkan generalisasi yang melabel seluruh komuniti berdasarkan tindakan segelintir individu.

Nilai seminar seperti ini bukan hanya pada perkongsian ilmu sepanjang satu hari, tetapi pada peluang untuk membawa dapatan dan pandangannya ke dalam pengajaran, penyelidikan, program komuniti serta perbincangan dasar.
Usaha susulan juga perlu menilai sama ada inisiatif dialog benar-benar memperluas kefahaman, membina kepercayaan dan membantu masyarakat mengurus ketegangan secara aman.
SIGMA 15 telah memperlihatkan bahawa agama mampu berperanan sebagai pemangkin keamanan global apabila disokong oleh ilmu pengetahuan, persefahaman bersama, dialog yang bermakna dan pengurusan perbezaan secara berhemah.
Kehidupan bersama secara aman memerlukan lebih daripada sekadar toleransi pasif. Sebaliknya, usaha aktif untuk memahami pihak lain, berkomunikasi dengan penuh hormat serta menangani cabaran semasa melalui kebijaksanaan dan pemikiran kritis amat diperlukan.
Selain itu, kepentingan memperkukuh kefahaman agama dalam kalangan generasi muda serta menggalakkan komunikasi yang bertanggungjawab, khususnya dalam era digital.
Seminar ini telah menyediakan platform akademik yang bermakna untuk pertukaran ilmu dan wacana intelektual, di samping memperkukuh kepentingan dialog antara agama dan sesama penganut agama dalam membina dunia yang lebih harmoni, inklusif dan aman.
Input daripada ucaptama dan pembentangan kertas kerja ini wajar dibawa ke ruang pendidikan, penyelidikan dan perbincangan masyarakat agar sumbangan seminar dapat diteruskan selepas program berakhir.
Penulis, Qidwah Aqila Qeshiri dan Nur Afiqah Amanina Mohd Kasim adalah Mahasiswa Program Pengajian Akidah dan Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
